Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat pameran pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak selepas merasmikan majlis pelancarannya dekat sini hari ini. - Foto BERNAMA |
BINTULU – Kerajaan persekutuan memberi jaminan Lebuhraya Pan Borneo
tidak akan dikenakan tol kerana ia adalah laluan utama pengguna jalan
raya kedua-dua negeri Sarawak dan Sabah.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berbeza dengan di
Semenanjung yang lebuh rayanya dikenakan tol, kerana ada laluan
alternatif disediakan, iaitu jalan yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya
(JKR) yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya.
“Lebuhraya Pan Borneo ialah laluan utama, tidak ada jalan alternatif,
ini perlu diperjelaskan kenapa tol tidak dikenakan di sini. Di
Semenanjung, laluan utama ialah lebuh raya utara selatan yang ada juga
jalan alternatif,” katanya semasa merasmikan fasa pertama projek
Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bernilai RM13 bilion di sini hari ini.
Najib berkata di Semenanjung, pengguna jalan raya boleh memilih untuk
menggunakan laluan utama yang dikenakan tol untuk cepat sampai ke
destinasi tertentu, atau memilih jalan alternatif yang mungkin jauh
jaraknya.
Beliau berkata fasa seterusnya projek lebuh raya ini akan
dilaksanakan pada tahun ini juga dengan pelancaran dijangka pada bulan
September.
Perdana menteri berkata apabila siapnya projek lebuh raya ini nanti
ia bukan sahaja menambah baik infrastruktur Sarawak, tetapi membuka
lebih banyak peluang ekonomi kepada semua rakyat di negeri ini.
Beliau menafikan projek Lebuhraya Pan Borneo ialah projek mega yang
membazirkan wang rakyat kerana projek itu bakal membawa faedah jangka
panjang penduduk negeri ini.
Dibina dengan kos keseluruhan RM27 bilion, projek Lebuhraya Pan
Borneo akan melibatkan pembinaan dan penambahbaikan jalan raya sepanjang
1,663 km dari Sarawak ke Sabah iaitu 936 km jalan di Sarawak dan 727 km
untuk Sabah.
Bagi Sarawak, skop pelaksanaan projek kali ini ialah pembinaan jalan
919 km untuk pembangunan jalan satu lorong dari Tanjung Datu ke Sematan
dan pembinaan jalan dua lorong dari Sematan ke Merapok.
Pembinaan secara rasmi bermula di Sarawak pada hari ini dengan fasa
pertama bermula untuk jalan sepanjang 43 km Nyabau ke Bakun yang
dijangka siap penghujung 2017 diikuti jalan Tanjung
Datu-Sematan-Miri-Limbang-Lawas dengan tempoh semua projek siap dijangka
dalam masa lapan tahun iaitu pertengahan 2023.
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang turut berucap berkata
perundingan dengan konsesi tol di Kuching, Sibu dan Miri masih belum
membuat sebarang keputusan sama ada hendak menurun atau menghapuskan
kutipan tol bagi ketiga-tiga syarikat berkenaan.
“Kalau boleh tol dihapuskan, tapi ini belum diputuskan, kita mahu
meringankan beban pengguna jalan raya yang terpaksa membayar cukai jalan
dan mengurangkan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata tindakan kerajaan persekutuan tidak mengenakan tol ke
atas Lebuhraya Pan Borneo adalah keputusan tepat memandangkan ia akan
menjadi laluan penting bagi penduduk Sarawak untuk tujuan ekonomi dan
sosial.
Beliau berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo adalah bukti kukuh
komitmen kerajaan persekutuan menunaikan janji seperti yang termaktub
dalam manifesto Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu,
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, menteri kabinet persekutuan
dan negeri, ketua jabatan dan ketua kaum di sini. – BERNAMA