Polis Kedah Berjaya Kesan Taktik Baru Judi Online

ALOR SETAR – Polis Kedah mengesan satu taktik baharu yang digunakan dalam permainan judi dalam talian selepas menyerbu sebuah pusat internet di Jalan Batas Paip, Jumaat lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya.

Menurutnya, modus operandi menghendaki pemain membuat panggilan telefon kepada penganjur iaitu penyedia laman web perjudian untuk mendapatkan nombor akaun penganjur bagi membolehkan mereka melakukan pertaruhan minimum RM10.

Setelah itu, penganjur akan memberikan Kata Nama (ID) dan Kata Laluan kepada pemain, untuk membolehkan mereka bermain judi dalam talian di mana-mana tempat yang mempunyai akses internet, katanya.

“Sekiranya menang, pemain akan berhubung dengan penganjur untuk diberi nombor akaun dan penganjur akan beri duit yang dia menang dengan berjumpa di mana-mana,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam serbuan kira-kira 4.30 pagi itu, 15 kaki judi ditahan berserta seorang penjaga premis berusia 23 tahun, kesemuanya lelaki berusia dalam lingkungan 13 hingga 45 tahun, menurut Mohd Nashir.

Hasil serbuan itu, pihak polis merampas 27 buah komputer dianggarkan bernilai RM80,000, wang tunai RM32 serta enam keping slip deposit tunai bank, katanya.

Beliau berkata, selain berhubung menerusi telefon, penganjur juga akan menjual kad tambah nilai yang mengandungi Kata Nama dan Kata Laluan tersebut menerusi ejen-ejen tertentu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA