Polis Temui Pistol Tembak Handphone Kekasih Dalam Semak Di Lubuk Merbau

ALOR SETAR - Polis dilaporkan telah menemui sepucuk pistol yang dipercayai digunakan seorang lelaki untuk menembak telefon bimbit teman wanitanya di sebuah restoran dekat Padang Terap, pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya menjelaskan bahawa senjata berkenaan telah dijumpai dalam kawasan semak di sekitar Lubuk Merbau, Kuala Nerang, baru-baru ini.

“Pada jam 1.15 petang kelmarin, polis dipandu arah oleh seorang suspek berusia lingkungan 30-an pergi ke kawasan semak di Kuala Nerang untuk mencari pistol yang disembunyikan.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui sepucuk pistol jenis Smith and Wesson 357 Magnum berwarna perak disorokkan dalam kawasan semak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, pistol tersebut bersama beberapa peluru hidup itu turut dirampas untuk membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini dilaporkan bahawa seorang lelaki tergamak menembak telefon bimbit teman wanitanya hanya gara-gara untuk melepaskan geram di sebuah restoran dekat Padang Terap, Rabu lalu.

Difahamkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu, wanita berusia lingkungan 40-an didatangi dua lelaki warga Thailand.

Insiden dikatakan bermula dengan pertengkaran sepasang kekasih sebelum teman lelakinya merampas telefon bimbit wanita itu dan melemparnya ke tanah sebelum ditembak hancur. -Kedahnews.com