MEDIA India menyertai ahli politik dan peminat
badminton negara ini meraikan kejayaan Saina Nehwal untuk muncul sebagai
wanita pertama negara ini menduduki ranking nombor satu dunia dalam
sejarah sukan badminton.
Saina melakar pencapaian itu dengan penuh bergaya apabila berjaya ke
perlawanan akhir pertamanya pada kejohanan Terbuka India setelah
mengalahkan pemain Jepun Yui Hashimoto 21-15, 21-11 pada perlawanan
separuh akhir di New Dehli semalam.
Perlawanan akhir akan berlangsung hari ini.
Saluran televisyen juga teruja dengan kejayaan Saina itu dan turut
meraikan pencapaiannya dengan menyiarkan liputan komprehensif tentang
pencapaian dan kerjayanya sebagai pemain badminton.
Kejayaan Saina itu menjadi penawar yang amat diharapkan oleh peminat
sukan di India setelah pasukan kriket kebangsaan negara ini tumpas
kepada Australia pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Kriket Piala
Dunia pada Khamis.
Saina adalah pemain badminton kedua India yang dinobatkan sebagai jaguh
nombor satu dunia selepas pencapaian Prakash Padukone pada 1986 (dalam
kategori lelaki).
Antara tokoh yang paling awal mengucapkan tahniah kepada pemain wanita
berusia 25 tahun ini ialah Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang
menyifatkan kejayaannya sebagai suatu ‘pencapaian luar biasa’ dan
menjadi kebanggaan seluruh negara.
Presiden India, Pranab Mukherjee juga mengucapkan tahniah kepada Saina atas pencapaiannya itu.
Walaupun ranking rasmi akan hanya diumumkan Persekutuan Badminton Dunia
(WBF) Khamis ini, kedudukan Saina di tempat teratas itu terjamin
apabila juara bertahan dunia, Carolina Marin dari Sepanyol, kalah 19-21,
23-21, 20-22 kepada pemain pilihan ketiga, Ratchanok Intanon, dari
Thailand.
Setakat ini, Saina, yang merupakan pemenang pingat gangsa Olimpik London, telah menjuarai 14 kejohanan antarabangsa.
Kejayaannya melayakkan diri ke perlawanan akhir Terbuka India di
gelanggang sendiri itu merupakan suatu pencapaian yang amat bermakna
selepas impiannya untuk meraih kejayaan amat istimewa, musnah dua minggu
lepas apabila gagal menjulang gelaran juara All-England.
Saina kalah 21-16 14-21 7-21 kepada Marin dalam perlawanan akhir kategori wanita yang berlangsung selama lebih sejam. - Bernama