Awas jerat "Abam Handsome"... |
Gambar-gambar ‘abam handsome’ (lelaki tampan) dilihat digunakan untuk
menarik minat remaja perempuan menyertai kumpulan militan di Syria.
Terbaharu pihak yang merekrut anggota baharu mengambil kesempatan
dengan kaedah ‘rayuan seks’ untuk menarik minat remaja perempuan yang
mudah tertipu.
Salah satu pengendali akaun Facebook, dikenali sebagai Abu Chechnya di Rusia (http://on.fb.me/ 1Avavyn), meletakkan gambar militan Chechen di Syria.
Menerusi ruangan komen pada gambar itu, secara terang pengendali
akaun Facebook itu membalas komen seorang pengguna lain dengan menulis:
“Ada yang berkenan ke kat dalam gambar tu??? Abam2 shishani handsome2
wowww hahaha!!! (Berminat dengan sesiapa di dalam gambar? Orang-orang di
sini kacak).”
Ahli psikologi klinikal, Prof Madya Dr Alvin Ng berkata secara
umumnya remaja cenderung mendekati apa sahaja yang menarik minat mereka.
“Remaja perempuan dan lelaki berdarah panas. Terutamanya mereka dari
keluarga yang bermasalah mudah tertarik dengan unsur pengembaraan dan
cuba untuk melarikan diri kerana mereka percaya tempat baharu mungkin
lebih baik,” katanya.
Pihak yang merekrut juga bijak bermain dengan emosi apabila
menyatakan bahawa mereka adalah orang-orang yang dipilih hingga
membuatkan remaja itu berasa istimewa.
“Anak-anak muda yang merasa seperti seorang buangan di rumah mereka sendiri atau masyarakat mudah untuk terpedaya,” katanya.
Menurut Dr Ng, adalah tidak adil untuk menyalahkan sistem pendidikan
apabila golongan muda dari Malaysia berasa terdorong untuk berperang di
negara lain.
“Keadaan ini juga boleh berlaku kepada golongan muda dan orang dewasa
di negara-negara maju. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi
memungkinkan ahli militan direkrut dari seluruh pelusuk dunia,” katanya.
Dr Ng berkata menjadi tanggungjawab ibu bapa dan penjaga untuk
menerangkan kepada kanak-kanak ini mengenai akibat daripada tindakan
mereka.
“Mereka perlu membuat anak-anak mereka rasa berharga dan dihargai. Ia
penting supaya mereka tidak mudah terpengaruh untuk meninggalkan rumah.
“Sama seperti di tempat kerja. Jika seseorang pekerja itu rasa
dihargai, tidak mudah bagi mereka untuk meninggalkan tempat kerjanya,”
katanya. -mStar