DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu – Bandar raya ini menjadi lubuk individu
tertentu meninggalkan kereta mewah mereka bagi mengelakkan tindakan
undang-undang kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan.
Lebih 3,000 kereta mewah ditemui pihak berkuasa setiap tahun di
pelbagai lokasi termasuk kawasan letak kenderaan lapangan terbang dan
pusat beli-belah yang ditinggalkan sama ada oleh warga asing mahupun
orang tempatan.
Kebiasaannya jika pemilik gagal muncul dalam tempoh 15 hari, maka kereta tersebut akan dilelong pada harga yang sangat murah.
Jurucakap polis memberitahu, gejala meninggalkan kereta mewah di
Dubai semakin teruk dan kebanyakan kenderaan tersebut tidak pernah
dituntut semula oleh tuannya.
“Keadaan itu mungkin disebabkan sistem perundangan di negara ini yang
tidak memberi perlindungan muflis kepada pemilik kenderaan berkenaan
selain mereka akan dipenjara jika gagal membayar hutang,” katanya.
Antara kereta mewah yang kerap ditemui ialah jenis Ferrari, Mercedes dan Porsche. – Agensi