Roti Canai "Hijau Kuning" Langkawi Viral Seluruh Negara

Kedahnews.com yakin bahawa selain nasi lemak, roti canai juga adalah antara juadah sarapan pagi paling popular yang mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.

Malah roti canai kini menjadi menu hidangan utama di banyak kedai makan negara ini dan mendapat permintaan tanpa mengira waktu, termasuk di waktu lewat malam.

Perkembangan terkini mengenai makanan kegemaran ramai itu menyaksikan "inovasi" yang dilakukan terhadapnya hingga menyebabkan ia viral diperkata di laman-laman sosial tentang penjualan roti canai yang kini boleh didapati dalam warna hijau dan kuning. 

Mungkin cuba mencari kelainan menerusi inovasi tersebut seperti yang pernah berlaku terhadap goreng pisang dan lain-lain makanan tradisi yang dipermoden, kelainan roti canai "hijau kuning" itu menyaksikan reaksi yang bercampur-campur.

Meskipun nampak cantik dan menarik, ramai warga netizen telah menyuarakan bahaya bahan kimia dalam pewarna yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit, selain ada yang memuji kreativiti perubahan terhadap roti canai itu.


Difahamkan juga bahawa roti canai "hijau kuning" itu dijual di sebuah gerai di Pulau Langkawi, dan agak popular dan laris ketika Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 berlangsung baru-baru ini.

Apapun, tema "hijau kuning" memang menjadi kebanggaan negeri Kedah sejak tradisi lagi, kan? -Kedahnews.com