KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hanya menerima
bayaran berjumlah RM1,000 sebagai Ketua Pendakwa Raya dalam kes liwat II
membabitkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata pendedahan
jumlah bayaran berkenaan dibuat selepas persetujuan oleh Jabatan Peguam
Negara dan Muhammad Shafee setelah berulang kali perkara itu
dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata sebelum ini, ia tidak didedahkan bagi menghormati
etika perhubungan profesionalisme dan kerahsiaan antara majikan dan
pelanggan.
“Ingin saya maklumkan bahawa pendedahan jumlah bayaran bagi
perkhidmatan beliau hanya boleh dibuat dengan persetujuan kedua-dua
pihak yang terlibat iaitu Jabatan Peguam Negara dan Tan Sri Muhammad
Shafee sendiri.
“Sehubungan dengan itu, berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak
dimaklumkan bahawa jumlah pembayaran untuk perkhidmatan yang diberikan
kepada Tan Sri Muhammad Shafee adalah sebanyak RM1,000,” katanya.
Beliau menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) mengenai jumlah
perbelanjaan yang dibayar kepada Muhammad Shafee sepanjang kes Anwar
dibicarakan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA