Saman Fitnah: Mahkamah Tolak Rayuan Ahli Parlimen DAP

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun hari ini gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah dikemukakannya terhadap Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Dr Thor Teong Gee.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Mohd Hishamudin Mohd Yunus sebulat suara menolak rayuan Jeff Ooi, memutuskan perkataan dalam kenyataan Dr Thor, walaupun bukan perkataan yang baik, tetapi tidak berupa fitnah di sisi undang-undang.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Hakim Vernon Ong Lam Kiat, memerintahkan Jeff Ooi membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada Dr Thor.

Panel berkenaan menyampaikan keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam mewakili Chuan Aun, S Ramesh, tanpa meminta peguam mewakili Dr Thor, Baljit Singh membuat hujahan balas (terhadap hujahan Ramesh).

Pada 22 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang menolak saman itu selepas memutuskan Jeff Ooi gagal untuk menyatakan dalam kenyataan balasnya, bahasa asal perkataan yang didakwa fitnah itu iaitu dalam bahasa Mandarin.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan perkataan yang digunakan Dr Thor dalam kenyataannya pada sidang akhbar itu adalah merujuk kepada isu radiasi, dan bukannya serangan peribadi terhadap Jeff Ooi.

Jeff Ooi menyaman Dr Thor atas dakwaan membuat kenyataan memfitnah tentang dirinya dalam sidang akhbar pada 21 Mei, 2010. - Bernama