SANAA – Bandar raya ini dibom bertalu-talu untuk malam ketiga
berturut-turut, kata beberapa penduduk semalam selepas jet-jet pejuang
Arab Saudi menyerang pemberontak Syiah Houthi yang disokong Iran.
Serangan oleh Riyadh itu dilakukan bagi mempertahankan Presiden Yemen, Abedrabbo Mansour Hadi.
“Ia malam yang sengit dengan pemgeboman,” kata seorang warga asing
yang bekerja untuk sebuah pertubuhan bantuan antarabangsa di sini.
“Orang ramai mahu melarikan diri tetapi tiada penerbangan keluar dari Yemen,” tambahnya.
Menurut seorang jurugambar agensi berita AFP, malam kelmarin
merupakan pengeboman paling sengit di bandar ini sejak Arab Saudi
melancarkan operasi serangan udara ke atas Yemen.
“Bandar ini dibom sehingga subuh,” katanya.
Beberapa saksi pula berkata, serangan udara itu disasarkan ke atas
depot senjata dan kemudahan ketenteraan lain di pinggir bandar ini.
Terdahulu, Arab Saudi menyatakan bahawa lebih 10 negara telah
menyertai pakatannya untuk mempertahankan Abderabbo. Beliau tiba di
Mesir kelmarin untuk menemui sekutu-sekutu Arab di sebuah persidangan
serantau.
Riyadh menuduh Iran yang berfahaman Syiah melakukan pencerobohan dan
menyokong militia Houthi yang mahu merampas kuasa di Yemen. – AFP