Seni Pertahan Diri Mampu Lindungi Anak Muda Dari Gejala Negatif

KUANTAN – Golongan muda digalakkan melibatkan diri dalam seni pertahanan diri yang dilihat berupaya menjadi perisai menangkis pelbagai gejala negatif, kata Adun Sungai Lembing Md Sohaimi Mohamed Shah.

Beliau berkata ini kerana aktiviti itu membentuk disiplin tinggi, menanam semangat jati diri dan cintakan bangsa.

“Kalau diperhatikan, mereka yang terlibat dalam aktiviti ini lebih berdisiplin, saling hormat-menghormati dan mengamalkan gaya hidup sihat, katanya ketika merasmikan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringat Negeri Pahang 2015 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang di sini, hari ini.

Kejohanan selama dua hari anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang disertai 180 peserta dari setiap daerah di negeri ini.

Acara yang dipertandingkan pada kejohanan kali ini ialah silat olahraga, karate, taekwondo dan silambam.

Md Sohaimi berkata ahli seni mempertahankan diri juga memiliki tahap keyakinan diri yang tinggi, yang memberi nilai tambah kepada remaja apabila mereka memasuki alam pekerjaan.

Justeru, beliau menyeru agar golongan berkenaan tidak mengabaikan atau mengambil mudah aktiviti tersebut kerana ia merupakan aset paling berharga untuk membantu menjadikan seorang insan itu berjaya. – BERNAMA