ALOR SETAR – Seorang daripada empat rakyat di Kedah disahkan menghidap diabetes yang kadarnya lebih tinggi berbanding kadar kebangsaan.
Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata
berdasarkan kajian ‘Survei Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2011′,
sebanyak 22.5 peratus rakyat Kedah daripada anggaran 256,000 orang
menghidap diabetes pada tahun 2011.
“Kajian ini meletakkan Kedah di tempat kedua menghidap diabetes
dengan 22.5 peratus manakala Perlis mencatatkan peratusan tertinggi 24.8
peratus dan Negeri Sembilan di tempat ketiga dengan 22 peratus,”
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia 2015 peringakat negeri.
Diabetes dan hipertensi merupakan penyebab kepada kegagalan fungsi buah
pinggang, katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Norhizan berkata daripada 19 jemaah umrah
yang dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini
kerana disyaki menghidap ‘Influenza Like Illness’ (ILI) empat hari
lepas, hanya tinggal seorang jemaah yang masih dirawat.
“Jemaah itu masih dirawat di wad isolasi kerana mengalami demam
tetapi berada dalam keadaan stabil dan sekiranya jemaah itu sudah sihat
beliau akan dibenarkan pulang dalam masa terdekat,” katanya.
Pada 23 Mac lalu, 13 jemaah umrah yang berasal dari Kuala Nerang
dimasukkan ke wad isolasi HSB kerana disyaki menghidap ILI selepas
pulang menunaikan umrah Ahad lepas. - BERNAMA