Seorang Maut, 3 Cedera Kereta Langgar Bas Ekspres Di Pendang

ALOR SETAR - Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum dirempuh sebuah bas ekspres dalam kejadian di KM55.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara dekat Pendang, awal semalam.

Kejadian pada pukul 5.15 pagi itu mengakibatkan Wan Mohd Fahili Wan Halim, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan manakala isterinya yang dikenali sebagai Azlinda, 38, serta ibu bapa Wan Mohd Fahili, Wan Halim Wan Abdullah, 60, dan Siti Zaleha Ismail, 56, cedera parah.

Difahamkan empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari Kuchai Lama, Kuala Lumpur ke Kodiang bagi menghadiri kenduri kahwin seorang saudara.

Mayat dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pemandu bas ekspres, Arzanizuan Hamzah, 39, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan membawa 46 penumpang dari Kuala Lumpur ke Terminal Bas Shahab Perdana, di sini.

Katanya, dia mengalami kecederaan ringan di bahagian kiri dahi akibat serpihan cermin bas manakala 46 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Abdul Aziz Ahmad mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.  - Bernama