Sherry Sha Boutique Di Guar Chempedak Tawar Fesyen Muslimah Moden


Walaupun masih mempunyai setahun perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pegawai Waran (PW) II Shariah Harun sudah membuat persediaan untuk kembali menjadi ahli masyarakat di kampung halamannya di Yan, dengan cara sendiri.

Setelah 25 tahun dalam ATM dan terakhir di Kor Ordnans Diraja, beliau kini menjalani proses peralihan (penamatan perkhidmatan) dengan menyertai program bimbingan dalam bidang estetik di Pusat Latihan Millenium Hair Care & Beauty dengan kerjasama Koperasi ATM dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional).

Bak pepatah sediakan payung sebelum hujan, Shariah atau lebih mesra dengan panggilan Sherry dalam kalangan rakannya, masih meneruskan program bimbingan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Perhebat) sehingga Mac tahun hadapan sebelum memberi tumpuan sepenuh masa sebagai pemilik Sherry Sha Boutique di Taman Guar Cempedak Indah.

Dengan bimbingan agensi terbabit dan rangsangan pelbagai pihak termasuk ahli keluarga, Sherry memulakan perniagaan butik Muslimah sebagai sumber pendapatan selepas bersara kelak.

Beliau berkata, idea itu tercetus apabila mendapati masih kurang pilihan busana Muslimah moden yang mematuhi syariat di sekitar Sungai Petani dan Alor Setar.

“Jadi saya mengambil inisiatif untuk memulakan usaha mulia ini dengan memperkenalkan fesyen Muslimah moden yang mematuhi syariat.

“Kemunculan butik ini diharap dapat memberi variasi pemilihan busana dan membina serta melahirkan lebih ramai usahanita tanpa mengira umur dan latar belakang pekerjaan,” katanya ketika ditemui selepas perasmian premis itu di sini.

Ia disempurnakan oleh isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Jerai, Datin Seri Fatmawati Saidin.

Selain menawarkan pelbagai pilihan busana kepada Muslimah, Sherry mengalu-alukan penglibatan masyarakat setempat yang berminat membina kerjaya sebagai usahawan sambil mempromosi keindahan fesyen yang sesuai dan kehendak Islam. -Sinar Harian