ALOR SETAR - Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang penjenayah berstatus banduan yang sama seperti banduan lain di penjara dan tidak wajar diberikan keistimewaan untuk dibenarkan menghadiri sidang Parlimen pada 9 Mac hingga 9 April ini.
Menurut Naib Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan, Anwar sepatutnya berada dipenjara menjalani hukuman seperti banduan lain sejajar dengan jenayah yang dilakukan terhadap bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
"Siapa Anwar? Apa istimewanya Anwar untuk dibenarkan keluar penjara dan hadir ke sidang Parlimen? Dia tu banduan... disahkan mahkamah sebagai penjenayah, maka di penjaralah tempat penjenayah," tegas pemimpin muda itu.
Meskipun Anwar dikatakan mempunyai peluang untuk "bebas" seketika untuk menghadiri sidang Parlimen sekiranya dibenarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Syed Mohd Johan Rizal menegaskan Anwar tidak layak mendapat kebenaran tersebut.
Tegas beliau, Anwar dan mana-mana pihak pun di negara ini tidak kebal dari hukuman undang-undang dan Ketua Umum PKR itu perlu menghadapi hukuman penjara itu setimpal dengan kesalahan jenayah yang dilakukan.
Malah Syed Mohd Johan Rizal juga yakin bahawa rakyat di Permatang Pauh merasa malu apabila menyedari mereka memiliki seorang penjenayah sebagai Ahli Parlimen dan tidak lagi mahu Anwar mewakili suara mereka di dewan yang mulia itu.
"Ini bukan soal politik. Ini soal jenayah. Bila dah terbukti di mahkamah dia buat jenayah dan dihukum penjara, maka terimalah hukuman tu.
"Apa sebab dia nak ke Parlimen? Orang Permatang Pauh pun faham Ahli Parlimen mereka tu penjenayah.. saya yakin mereka pun malu kalau Anwar jadi wakil mereka di Dewan Rakyat.
"Malulah negara bila penjenayah bercakap di Parlimen... Dewan Rakyat tu akan tercemar dengan suara penjenayah" kata peguam muda itu kepada Kedahnews.com ketika dihubungi sebentar tadi.
Justeru itu beliau mengesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan mempunyai kata pemutus untuk membenarkan Anwar ke sidang Parlimen itu supaya tidak tunduk dengan desakan mereka yang menyokong penjenayah tersebut.
"Jadi saya gesa Datuk Seri Zahid atau mana-mana pihak terbabit untuk tidak sesekali membenarkan penjenayah itu mengotorkan parlimen. Cukuplah dia kotorkan negara sebelum ini, biarlah dia duduk dalam penjara diam-diam," ujarnya.
Berikut pula adalah kenyataan media beliau yang turut dimuatnaik ke laman blog rasminya, "Bila Shahabudin Berbicara" di sini. -Kedahnews.com
Kenyataan Media
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan
AJK Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar
Anwar Sebagai Banduan Tidak Layak Diberi Keistimewaan Ke Parlimen!
Baru-baru ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilapor telah mendesak pihak Kerajaan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk membenarkan Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk dibenarkan hadir ke siding parlimen bermula pada 9 Mac hingga 9 April ini.
Justeru itu, saya, Syed Mohd Johan Rizal, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian AlorSetar menegaskan bahawa desakan yang dibuat oleh PKR itu tidak wajar dilayan sama sekali dan membantah keras sebarang usaha untuk membawa Anwar ke sesi parlimen kali ini berdasarkan beberapa alas an seperti berikut;
i. Meskipun masih sah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, ianya hanyalah bersifat “procedural” yang mana SPR hanya mengikut ketetapan member ruang untuk keputusan Seri Paduka Baginda DiPertuan Agong member pengampunan DiRaja ataupun tidak. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah didapati bersalah dan dia merupakan penjenayah seksual dan telah ataupun sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun. Apakah kekebalan dan suaka ataupun keistemewaan patut diberikan kepada penjenayah? Sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Sebagai seorang penjenayah yang kini bergelar banduan untuk kali kedua, beliau perlu menjalani hukuman singkat tersebut di penjara sebagai pengajaran terhadap jenayah yang dilakukan kira-kira tujuh tahun lalu.
Seorang penjenayah yang dipenjara mahkamah perlu menjalani hukuman di penjara, bukannya bebas keluar masuk ke parlimen. Seorang pemilik syarikat sudah tentu tidak akan dibenarkan keluar penjara untuk menguruskan perniagaannya selagi tidak menghabiskan hukuman yang telah ditetapkan mahkamah.
ii. Sebagai seorang pemimpin yang kononnya percaya pada prinsip keadilan beliau telah disabitkan dengan jenayah, Anwar (DSAI) perlu menghormati hukuman serta mendaulatkan undang-undang, dan menjalani hukuman penjara tanpa sebarang keistimewaan berbanding banduan yang lain. Status sebagai Ahli Parlimen yang diberikan status Yang Berhormat (YB) tidak kirai ndividu dari mana-mana parti, jika Anwar (DSAI) diberikan hak ini, ini adalah satu penghinaan pada mahkamahpersekutuan (contempt of Court) , Keluhuran Perlembagaan dan penghinaan pada kemuliaan Parlimen serta ahli-ahli Yang Berhormat yang lain.
Ditegaskan sekali lagi, jika perkara ini berlaku, ini merupakan sejarah dan akan menjadi “precedent” rujukan untuk Parlimen kita dilabelkan sebagai pelindung kepada penjenayah dan kita tukar status Ahli-ahli Yang Berhormat kepada ‘Yang Terhina’ ataupun buang terus status ini pada Ahli Parlimen.
iii. Sekiranya Anwar dibenarkan hadir ke parlimen, bebas keluar dan masuk penjara, maka ia akan menjadi contoh di masa hadapan di mana penjenayah atau banduan yang lain dipenjara akan memohon keistimewaan yang sama seperti itu untuk bebas keluar masuk penjara dengan pelbagai alasan. Perkara tersebut tidak wajar dibenarkan sama sekali berlaku di atas nama kedaulatan undang-undang.
Apa yang saya mahu tegaskan, kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman negara akan dipandang rendah serta kurang diyakini sekiranya tidak bertindak tegas terhadap penjenayah, sekaligus meranapkan prinsip rukunegara ke-4 yang didokong rakyat Malaysia selama ini.
iv. Hukuman terhadap Anwar bukanlah berunsur politik dan beliau dibicarakan secara adil dan saksama di tiga buah mahkamah dengan mengikut prosedur perundangan. Justeru itu, tidak perlu dipolitikkan hukuman penjara terhadap Anwar dan beliau perlu menjalani hukuman tersebut tanpa sebarang pertikaian lagi. Tindakan kelompok DSAI ini hanyalah untuk mempolitikan keputusan ini dengan kononnya bersenlidung di sebalik status Ahli Parlimen beliau dan saya yakin ia adalah untuk menarik perhatian rakyat terhadap beliau yang telah terhakis dan rakyat sudah tidak lagi mempedulikan beliau dan saya percaya ini adalah gimik politik yang cuba dilacurkan oleh beliau dan kelompoknya.
Saya percaya dalam sedikit masa lagi keputusan pengampunan DiRaja oleh Seri Paduka YDPA tidak akan berpihak pada beliau, kerana DYMM SPB YDPA bersikap adil dan saksama dan lebih ramai lagi penjenayah mahupun banduan yang telah insaf telah menunggu lama untuk mendapat pengampunan tersebut. Siapa Anwar??? Seorang banduan yang telah insaf? Mengikut rekod ini adalah hukuman yang kedua atas jenayah yang sama, tiada unsure keinsafan yang ditunjukan beliau.
Akhirnya, saya yakin bahawa permohonan untuk membenarkan Anwar hadir ke siding parlimen kali ini adalah merupakan satu lagi permainan politik jijik pihak PKR untuk mempermainkan Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Speaker Dewan Rakyat, Peguam Negara dan kemuliaan Dewan Rakyat. Kita membantah usaha politik murahan PKR ini yang cuba untuk membina persepsi buruk terhadap kedaulatan undang-undang negara.
Banduan tetap banduan dan tempatnya adalah di penjara, bukannya bebas seperti rakyat Malaysia yang lain atau Ahli Parlimen lain yang tidak melakukan kesalahan jenayah sepertinya. Anwar sebagai banduan tidak layak diberi keistimewaan!
Yang benar,
Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri
AJKPergerakanPemuda UMNO Negeri Kedah
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar.