Sindiket Pemerdagangan Manusia Di Kulim Terbongkar


KULIM - Polis berjaya membongkar sindiket pemerdagangan manusia yang dipercayai beroperasi sejak November tahun lalu dengan penemuan 28 warga asing di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Rambai, di sini, semalam.

Dalam serbuan pada jam 1.15 pagi itu,  polis menemui warga asing dari  Bangladesh dan Myanmar tanpa dokumen perjalanan yang sah tinggal di kediaman itu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, kesemua warga asing itu berumur antara 12 hingga 40 tahun.

Menurutnya, seorang warga Myanmar dipercayai didera apabila bahagian depan dan belakang badan mangsa melecur akibat dijirus air panas manakala seorang lagi rakan senegaranya dirantai di ruang tamu.

"Dua suspek yang dipercayai ahli sindiket melarikan diri melalui bumbung ketika serbuan dijalankan.

“Hasil maklumat orang awam kita berjaya membongkar sindiket pemerdagangan manusia yang dipercayai didalangi warga tempatan namun kes berkenaan masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, kesemua warga asing yang ditahan dipercayai masuk ke negara ini melalui pintu sempadan dengan berjalan kaki sebelum diambil sindiket tersebut untuk mendapatkan pekerjaan dengan membayar kira-kira RM10,000 setiap seorang.

Jelasnya, beliau turut percaya warga asing berkenaan dipedaya apabila terpaksa membayar wang tambahan kira-kira RM10,000 lagi kepada sindiket tersebut sebelum dilepaskan untuk mencari pekerjaan.

"Selagi mereka tak dapat bayar mereka dikurung di situ dan rumah yang menjadi tempat tahanan mangsa pemerdagangan itu disewa dua lelaki warga Myanmar sejak November tahun lalu dengan alasan untuk tinggal bersama keluarga.

“Kita percaya sepanjang Januari hingga Februari lalu, beberapa kumpulan warga asing telah dibawa masuk dan ditempatkan di situ sebelum dilepaskan untuk mencari pekerjaan di negara ini kerana mangsa yang kita temui baru dibawa ke situ sejak dua hingga 20 hari lalu,” katanya.

Abdullah berkata, sindiket tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan empat mayat yang ditinggalkan di tiga kawasan di daerah ini iaitu dua di Lunas, satu di Batu Putih dan satu mayat di Karangan.

“Kita juga percaya mayat yang ditemui di lokasi itu adalah mangsa pemerdagangan manusia yang dikurung dan meninggal dunia.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 26A di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 61(c) 1959/1963 di bawah Akta Imigresen," katanya. 

Sumber: Sinar Harian