CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
mengeluarkan 23 kompaun berjumlah RM1.01 juta kepada syarikat
telekomunikasi (Telco) utama berhubung isu panggilan terputus dan
pendaftaran bagi pengguna prabayar.
Menurut kenyataan SKMM pada Rabu, bagi isu panggilan terputus, jumlah
kompaun yang dikenakan kepada DiGi Telecommunications Sdn Bhd adalah
RM180,000, Maxis Mobile Services Sdn Bhd RM170,000 sementara Celcom
Axiata Bhd RM130,000.
Bagi isu pendaftaran pengguna prabayar pula, Celcom Axiata dikenakan
kompaun RM200,000, Maxis Mobile Services RM150,000, U Mobile Sdn Bhd
RM100,000, Tune Talk Sdn Bhd RM70,000 dan XOX Com Sdn Bhd pula RM10,000.
“SKMM sentiasa tegas dalam isu pendaftaran pengguna prabayar kerana
terdapat insiden yang mana maklumat peribadi orang lain telah digunakan
untuk melakukan kegiatan jenayah,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama turut dimaklumkan, SKMM telah mengeluarkan dua
kompaun kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro) dan
Maestra Broadcast Sdn Bhd (Maestra) bagi kesalahan melanggar peruntukan
di bawah Kod Kandungan dan syarat lesen.
Astro dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar Peruntukan Kod
Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Bahagian 3: Iklan di sub
perenggan 5.1, 5.2 dan 8.1 serta Syarat Standard 6 Lesen Pemberi
Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (Individu) CASP(I).
Menurut kenyataan itu, Astro didapati menyiarkan rancangan bual
bicara mengenai produk kesihatan untuk penyakit-penyakit yang dilarang
daripada diiklankan di bawah peruntukan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan)
1956.
Maestra pula dikenakan kompaun RM20,000 kerana melanggar Syarat Khas
Lesen No. 10.2 CASP (i) dan Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia
1998.
Sementara, Radio Era FM yang beroperasi di bawah Maestra telah
melakukan kesalahan dengan menyiarkan kandungan yang menyinggung
perasaan umat Islam pada Ramadan tahun lepas, menurut kenyataan itu.
SKMM mengawal selia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi
dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran,
aktiviti dalam talian, perkhidmatan pos dan pensijilan digital.
SKMM mengeluarkan sebanyak 70 kompaun berjumlah RM2.84 juta atas pelbagai kesalahan pada 2014. - BERNAMA