Street Dakwah |
JIKA suatu ketika dahulu dilihat janggal, malah dirasakan rimas ketika ingin didekati, namun kaedah dakwah jalanan atau lebih dikenali street dakwah kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pendakwah dan juga masyarakat awam.
Membawakan pendekatan serta penampilan kontemporari, menjadikan misi yang dibawa oleh golongan sukarelawan yang turun padang untuk menyampaikan dakwah di kawasan umum itu semakin mudah diterima oleh masyarakat termasuk golongan bukan Islam.
Bukan sahaja dilakukan oleh pertubuhan dakwah bukan kerajaan dan badan kerajaan, malah usaha itu turut mendapat kerjasama yang menggalakkan dari institusi masjid, pusat pengajian tinggi serta individu bagi bersama-sama mengadakan kaedah baharu dakwah itu.
Ia merupakan perubahan positif terhadap transformasi dakwah di negara ini dalam usaha memberi pendedahan terhadap agama Islam, di samping mengajak lebih ramai masyarakat kembali kepada ajaran Islam dan orang bukan Islam untuk memeluk Islam.
Mengakui fenomena itu, Setiausaha Pertubuhan Amal Firdausi, (Pafi), Mohamad Raffie Jaafar berkata, street dakwah membolehkan pendakwah bebas berdakwah secara terbuka dengan mendekati golongan sebaya dan senasib dengan mereka.
Beliau yang juga pernah terlibat dalam golongan mak nyah berkata, menerusi pengalaman yang dilalui, penyampaian dalam mengajak golongan sasar untuk kembali ke pangkal jalan itu menjadi lebih mudah diterima dan berkesan.
Ia tambahnya, sekali gus mengubah persepsi orang ramai terhadap konsep dakwah yang tertutup iaitu hanya dilakukan di masjid dan surau menerusi penyampaian ceramah.
“Secara logiknya, golongan yang bermasalah ini sudah pasti tidak akan mengunjungi masjid atau surau, apatah lagi menghadiri ceramah yang diadakan di rumah ibadah itu. Ia secara tidak langsung membataskan penyampaian dakwah yang tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.
“Tetapi, menerusi kaedah street dakwah ini, pendakwah sendiri turun padang ke tempat awam dan berjumpa terus kepada orang ramai dengan pelbagai latar belakang. Ini membolehkan dakwah disampaikan dengan lebih terbuka dan meluas.
“Malah, pengalaman lalu yang dialami oleh pendakwah atau sukarelawan itu sendiri menjadi nilai tambah buat mereka dalam mendekati golongan senasib dan saling berkongsi usaha untuk berubah,” katanya ketika ditemui pada program Street Muzikal: Gema Jalanan, di ibu negara, baru-baru ini.
Dakwah muzikal
Pada program sehari itu, sukarelawan turut mengedarkan poster dan risalah mengenai agama Islam selain melakukan demonstrasi pemakaian tudung kepada orang ramai.
Raffie berkata, mengambil pendekatan dakwah menerusi hiburan, kaedah dakwah secara muzikal itu diyakini lebih mudah diterima oleh orang ramai kerana bertepatan dengan fitrah manusia yang sukakan kepada hiburan.
“Konsep street muzikal ini dipilih kerana bersesuaian dengan naluri manusia terutamanya golongan belia, yang dilihat mudah tertarik kepada hiburan berbanding melalui ceramah. Dalam program ini, sukarelawan yang terlibat akan memainkan alat muzik sambil berselawat dan menyanyikan lagu berunsur ketuhanan di lokasi tumpuan orang ramai.
“Walaupun tidak dapat bercerita panjang kepada orang ramai, sekurang-kurangnya dalam pertemuan yang singkat dalam program dakwah jalanan ini kita mengajak orang ramai untuk berselawat dan mengingati Rasulullah SAW bukan hanya pada sambutan Maulidur Rasul,” ujarnya.
Tidak hanya dilakukan oleh pertubuhan dakwah kerajaan mahupun bukan kerajaan yang bertanggungjawab, trend dakwah jalanan turut membabitkan penglibatan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.
Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, selain menyampaikan dakwah kepada masyarakat, program street dakwah secara tidak langsung dapat melatih kemahiran, keyakinan dan kepimpinan pelajar mengenai realiti kehidupan luar sebenar.
Beliau yang ditemui ketika mengadakan Program USIM Street Dakwah di Pasar Seni, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, menyasarkan dakwah kepada golongan remaja, program yang turut mendapat kerjasama daripada Kumpulan Utusan Melayu itu mengetengahkan kaedah seni dalam dakwah.
“Penglibatan USIM dalam program dakwah jalanan ini merupakan salah satu sumbangan warga IPT termasuk kakitangan dan juga pelajar dalam dakwah kepada masyarakat.
“Selain menyampaikan mesej dan berkongsi maklumat mengenai agama Islam kepada orang ramai, program ini secara tidak langsung mendedahkan kepada mahasiswa USIM tentang peranan serta pendedahan diri mereka sebagai persediaan apabila tamat daripada belajar.
“Membawakan pendekatan dakwah menerusi hiburan seperti muzik, nyanyian, qasidah dan puisi berteraskan Islam, kita menyakini mampu menarik pengunjung yang hadir ke kompleks ini terutamanya golongan muda mengenai Islam,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Che Azizah Che Rasyid dan Pengurus Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.
Antara yang turut hadir mengadakan persembahan pada program itu termasuk pelajar daripada kumpulan kebudayaan USIM, Siso Kopratasa, kumpulan I’m Muzika, USIM Buskers, Perkusirama serta Akusukabuskers. -Utusan