Abd Ghani menunjukkan sampah yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab sepanjang jalan ke Kampung Tok Kun hingga menimbulkan masalah. |
Penduduk, Abd Ghani Man, 53, berkata, jalan Kampung Tok Kun itu menjadi penghubung utama penduduk Kampung Nawa, Kampung Kolam dan Kampung Kubang Besar untuk ke pekan Pokok Sena.
Menurutnya, tindakan individu tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan itu menyebabkan bahu jalan dipenuhi sampah dan berbau busuk.
"Kami kecewa dengan keadaan itu kerana setiap kali orang luar datang ke sini akan menghidu bau busuk terlebih dahulu sebelum sampai ke kampung kami.
"Keadaan bertambah serius apabila tiba musim hujan kerana bau busuk dari sampah berkenaan mencemari jalan berkenaan,” katanya.
Abd Ghani berkata, longgokkan sampah itu turut dikerumuni anjing liar yang akan mengheret kotoran berkenaan sepanjang jalan itu.
Katanya, bagi menyelesaikan masalah itu, pihak berkenaan diminta untuk meletakkan tong sampah besar seperti sebelum ini bagi membolehkan penduduk membuang sampah ke situ.
"Saya yakin jika pihak berkenaan dapat meletak tong sampah di hadapan pintu masuk ke kampung itu, masalah sampah berselerakan tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajudan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tok Kun, Jamaludin Saleh berkata, masalah itu bermula beberapa tahun lalu apabila pihak berkenaan menarik semula tong sampah yang disediakan.
Katanya, ketika itu, kegagalan pihak berkenaan mengangkut sampah mengikut jadual menyebabkan sampah dalam tong sampah itu berbau hingga menimbulkan masalah kepada penduduk berdekatan.
“Hal itu menyebabkan penduduk memohon pihak berkenaan mengambil tong sampah itu.
"Bagaimanapun dengan tanggungjawab yang diberikan kepada pihak berkaitan, saya yakin masalah itu tidak timbul lagi selepas ini kerana mereka ada jadual ditetapkan untuk mengambil sampah di situ,” katanya.
Jamaludin berkata, penduduk pernah membakar sampah di kawasan itu akibat jumlahnya yang terlalu banyak.
“Sebelum ini, saya pernah meletak papan tanda supaya penduduk tidak membuang sampah tetapi gagal mendapat kerjasama daripada mereka,” katanya. -Sinar Harian