SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu
perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini
dimuktamadkan segera mengikut perjanjian utama yang ditandatangani
kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pada 12 Sept 2014.
Baginda menggesa supaya proses itu dijalankan berlandaskan semangat
dan terma perjanjian utama serta tidak dipolitikkan mana-mana pihak agar
ia dapat dilaksanakan dengan sempurna bagi memenuhi keperluan
pembangunan serta kehidupan rakyat Selangor.
Sultan Sharafuddin juga menitahkan supaya kerajaan Selangor sentiasa
bersedia dengan langkah-langkah terbaik untuk memastikan bekalan air
bersih mencukupi bagi keperluan domestik dan industri.
“Beta yakin pendekatan ‘bersemuka dan berbincang’ dapat menyelesaikan
persoalan ini secara adil demi menjamin perkhidmatan air terawat yang
lebih efisien dan mesra rakyat kepada seluruh warga negeri Selangor.
“Beta juga mahu Memanda (menteri besar) Beta meneruskan sikap tegas
mempertahankan kedaulatan negeri Selangor dan kepentingan rakyat,” titah
baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga
Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mahu usaha menggantikan tanah
rizab Melayu yang telah dibatalkan akibat projek-projek pembangunan di
negeri ini dapat dilaksanakan segera dan bentuk penggantian tersebut
haruslah ‘serupa keadaannya’ serta mempunyai nilai pasaran yang
kompetitif.
“Wajar diingatkan agar hak-hak orang Melayu dan Bumiputera mesti
dipertahankan termasuk jumlah keluasan tanah rizab Melayu selaras dengan
Perkara 89, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda juga menegaskan pengurusan alam sekitar dan ekosistem melalui
pemuliharaan hutan simpan kekal dan penanaman pokok di Selangor mesti
diberi perhatian sebagai iktibar susulan banjir yang berlaku di pantai
timur Disember lepas.
Sehubungan itu, baginda menitahkan supaya kerajaan Selangor sentiasa
memelihara hutan simpan kekal di negeri ini dan memastikan jumlah
keluasannya harus tidak kurang 30 peratus daripada keluasan tanah sedia
ada.
Sultan Sharafuddin bertitah kerajaan Selangor perlu menggubal
dasar-dasar negeri mengikut keutamaan betul dan selaras dengan tuntutan
Maqasid Syariah, iaitu gagasan penting dalam Islam yang sentiasa relevan
dengan perubahan zaman.
“Beta berharap Memanda Datuk Menteri Besar (Mohamed Azmin Ali) dapat
meneruskan amanah kepimpinan dengan baik di samping mencatat beberapa
kejayaan dalam tempoh singkat serta pendekatan kerja secara hands-on dan
lebih responsif terhadap permasalahan rakyat,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin mahu setiap rakyat Selangor tanpa mengira kaum,
agama dan budaya dapat merasakan hak mereka terjamin selaras dengan
peruntukan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan hakikat bahawa rakyat
adalah aset terpenting dalam memacu pertumbuhan dan menarik pelabur.
Titah baginda, kepesatan ekonomi Selangor kini bakal menarik lebih
banyak rakyat berhijrah ke negeri ini dan dijangkakan kepadatan penduduk
mampu mencapai sehingga sembilan juta orang menjelang 2035.
Berikutan itu, baginda menyatakan permintaan bagi perumahan mampu
milik akan menjadi lebih mendesak pada masa depan dan keperluan untuk
menyediakan sistem pengangkutan awam dilihat semakin mencabar.
“Beta berkenan usaha kerajaan negeri untuk membina 15,000 unit rumah
mampu milik dalam tempoh tiga tahun ini dan berharap ia dapat
dilipatgandakan sebagai usaha memenuhi permintaan sebanyak 40,000 unit,”
titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan harapan supaya Rancangan
Struktur Negeri Selangor 2035 dapat menyasarkan nisbah pengangkutan awam
kepada kenderaan persendirian pada kadar 60:40. – BERNAMA
