Anggota Polis Forensik membawa mayat wanita dipercayai mangsa bunuh untuk dibedah siasat, di sini malam tadi. - Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat
dalam kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui di sebuah
pangsapuri di Petaling Jaya pada Rabu malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata lelaki
berusia 36 tahun itu, yang merupakan penghuni di sebuah daripada bilik
di pangsapuri berkenaan, ditahan di Hentian Pudu Raya kira-kira 10.30
malam.
“Polis sedang menyoal siasat tangkapan untuk mengenal pasti motif dan
lain-lain unsur jenayah pembunuhan ini. Kami akan memohon untuk
mendapat perintah reman terhadap suspek,” katanya ketika dihubungi pada
Khamis.
Dalam kejadian malam tadi, wanita berusia 26 tahun yang yang baru
bersalin dua bulan lepas, dijumpai dalam keadaan tangan dan kaki terikat
serta mulutnya disumbat, bersebelahan bayinya.
Suami mangsa yang baru pulang dari tempat kerja, terpaksa memecah
masuk ke dalam rumah yang berkunci dari dalam pangsapuri itu kira-kira 8
malam.
Mangsa bersama suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di
sebuah syarikat pengeluar barangan komputer, tinggal di rumah milik
majikan suaminya itu, yang turut dikongsi dengan lima rakan sekerja.
Bayi mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, Azmi berkata pihaknya masih menunggu hasil bedah siasat berkenaan punca kematian wanita itu. - BERNAMA