Suspek Kes Rogol Pelajar Tingkatan Dua Di Jitra Berjaya Diberkas

JITRA - Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan polis kerana disyaki merogol seorang pelajar tingkatan dua dalam satu kejadian 18 Februari lalu, di Malau, di sini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang mendakwa anaknya dirogol seorang kenalan yang juga jiran mereka.

Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa mendakwa suspek dikenali secara rapat itu telah merogolnya di sebuah bilik di rumah mangsa kira-kira jam 4.50 pagi.

“Berdasarkan laporan itu kita menahan mangsa di rumahnya semalam (kelmarin).

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Polis Ke-208 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, semalam.
Katanya, pihaknya telah menghantar mangsa untuk pemeriksaan doktor untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, mangsa yang juga anak ke-11 daripada 13 beradik itu berkawan rapat dengan suspek.

“Mangsa dan ibunya membuat laporan polis selepas suspek tidak mengaku melakukan perbuatan itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sambutan Hari Peringatan Polis ke-208, Abd Rahim berkata, melalui tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” pihaknya akan menjalinkan hubungan lebih rapat dengan komuniti masyarakat di kawasan daerah itu.

Sempena sambutan tahun ini juga katanya, pihaknya menyampaikan kira-kira 100 Surat Penghargaan kepada masyarakat yang banyak memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Mereka yang menerima surat penghargaan hari ini terdiri daripada pemimpin masyarakat, pihak swasta, pegawai keselamatan kerajaan Thailand dan pengamal media yang banyak memberi kerjasama kepada kita.

“Justeru itu, saya berharap hubungan polis dan masyarakat ini dapati diperluas dan dieratkan lagi pada masa hadapan, sekali gus membantu pihak polis memerangi sebarang kegiatan jenayah,” katanya.