KUALA LUMPUR – Pemandu teksi dan penumpang menjadi keliru apabila
timbulnya cadangan untuk menangguhkan kenaikan tambang pengangkutan awam
darat.
Para pemandu teksi berpendapat perkara itu sepatutnya dikaji dengan
teliti sebelum diumumkan, manakala orang ramai pula tidak pasti tentang
kadar tambang yang perlu mereka patuhi.
Pada 19 Mac, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan
kenaikan tambang teksi antara 20 dan 67 peratus, tetapi semalam,
kerajaan meminta SPAD menangguhkan pelaksanaan langkah itu.
Seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ong
mempersoalkan rancangan untuk menangguhkan kenaikan tambang itu dengan
berkata kebanyakan pemandu teksi telah melakukan penentukuran kadar pada
meter mereka berikutan pengumuman SPAD sebelum ini.
"Kenapa pula kenaikan tambang perlu ditangguhkan? Lagipun, tambang
teksi sepatutnya disemak semula selepas lima tahun.
"Kami semua telah
melakukan penentukuran meter kami mengikut tambang baharu yang diumumkan
SPAD dan kami tidak akan mengubah suai penentukuran kadar meter itu
semula kerana kosnya adalah tinggi," kata Ong, yang menjadi pemandu
teksi sejak 17 tahun lepas, kepada Bernama.
Sementara itu, seorang pemandu teksi yang hanya ingin dikenali
sebagai Wan, berkata dia perlu membayar RM150 untuk melakukan
penentukuran kadar meter teksinya dan jumlah itu adalah besar bagi
pemandu teksi sepertinya.
Wan, yang memandu teksi sejak 23 tahun lepas, berkata suara pemandu
teksi perlu diambil kira kerana mereka juga perlu menjelaskan pelbagai
bil dan mempunyai tanggungan yang perlu diberi makan.
Khairani Afifi, 23, yang kerap menggunakan perkhidmatan teksi pula
berkata SPAD dan Kementerian Pengangkutan perlu menangani perkara ini
dengan teliti bagi mengelak timbulnya kekeliruan dalam kalangan semua
pihak.
Tambang yang disemak semula perlulah mencerminkan perkhidmatan yang lebih baik, kata penuntut universiti dari Shah Alam ini.
Sementara itu, presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM)
Dzulkarnain Taib menyambut baik cadangan penangguhan itu dengan berkata
penyedia perkhidmatan pengangkutan awam perlu menambah baik perkhidmatan
mereka sebelum menuntut kadar tambang disemak semula. -BERNAMA