Walaupun tirainya tetap terbuka luas, namun teater usang ini tidak lagi melakukan aktiviti pementasan sejak beberapa dekad lalu.
Pada siling bangunan, kelihatan lubang besar menandakan ia sudah reput, manakala tempat duduknya yang pernah padat dengan pengunjung, kini sunyi sepi dimamah masa.
Jurugambar pengembara urban, Nicola Bertellotti, sempat merakamkan pelbagai sudut ‘cerita’ mengenai bangunan usang itu melalui lensa kameranya.
Melalui siri itu orang ramai dapat mengimbau bagaimana bangunan yang pernah menjadi kebanggaan Eropah suatu ketika dulu kini bagaikan menyerah kepada ketentuan alam.
Pengembaraan Bertellotti menampilkan koleksi gambar vila, gereja dan rumah yang pernah gah tetapi kini menuju kebinasaan.
Ratusan bangunan di sekitar bandar Eropah sudah dijelajah Bertellotti.
Menurut Bertellotti, kajian beliau lebih menjurus ke arah estetika pereputan dan ia ditampilkan oleh lensa fotografinya.
Hasil rakaman Bertellotti menjadi pameran tetap di dalam galeri Arte a Colori di Val d’Elsa, Itali.
Sumber: myMetro