LANGKAWI – Persatuan Teksi Langkawi menyokong penangguhan pelaksanaan
kadar tambang baharu teksi yang telah diumumkan oleh Suruhanjaya
Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) pada Rabu lepas.
Timbalan yang Dipertua Persatuan itu, Adnan Md Saleh berkata
penangguhan itu membolehkan kerajaan mengkaji terlebih dahulu sebelum
dilaksanakan.
"Kita menunggu arahan kerajaan untuk menggunakan kadar tambang yang ditetapkan," katanya di sini hari ini.
Terdapat lebih 1,000 buah teksi beroperasi di Langkawi.
Katanya, kadar tambang teksi di Langkawi menggunakan kadar yang telah
ditetapkan oleh SPAD, biarpun operasi pengangkutan awam itu tidak
menggunakan meter.
Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata
Kabinet meminta SPAD agar menangguhkan dahulu kenaikan kadar tambang
baharu pengangkutan awam setelah jemaah menteri berpendapat kenaikan
tambang itu tidak sesuai diumumkan dalam keadaan sekarang. - Bernama