Terengganu Sasar Pertumbuhan KDNK 5.5%

Kuala Lumpur - Kerajaan Terengganu menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara lima hingga 5.5 peratus pada tahun ini berbanding purata 4.2 peratus secara tahunan meskipun dalam keadaan ekonomi mencabar pada masa ini.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jumlah itu dilihat masih mampu dicapai walaupun negeri itu adalah pengeluar utama petroleum negara menerima impak ekoran penurunan harga minyak dunia kini.

“Saya berpendapat situasi terbabit bukan halangan bagi kerajaan negeri di mana kami perlu mengambil peluang daripada peningkatan mata wang negara luar pada masa ini untuk menjana pertumbuhan terutama dalam sektor pelancongan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara kerajaan Terengganu dan Cyberview Sdn Bhd (Cyberview), semalam.

Pada majlis itu menyaksikan Cyberview menjadi penasihat kepada kerajaan Terengganu untuk membangunkan sebuah hab teknologi berkeluasan 13.35 hektar yang terletak di Pusat Sains Terengganu di Kampung Laut, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya menggariskan beberapa strategi untuk menjana sektor pelancongan negeri itu termasuk meningkatkan kekerapan penerbangan dari luar negara ke Terengganu selain terus menarik pelaburan luar melalui tawaran kepada syarikat berupa insentif dan subsidi sub stesen.

“Hab teknologi Terengganu dijangka siap akhir tahun ini dan ia mampu menjana ekonomi penduduk di kawasan sekitar 75 kilometer termasuk di daerah Setiu serta Hulu Terengganu selaras sasaran ditetapkan di bawah insentif Transformasi Terengganu Baru (TTB),” katanya. -myMetro