TERKINI: Lee Kuan Yew Makin Nazak, Tenat Di Hospital

SINGAPURA – Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, 91 tahun, semakin bertambah teruk akibat jangkitan kuman, lapor stesen penyiaran tempatan, Channel NewsAsia pada Selasa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini hari ini, Kuan Yew kini sedang diberikan ubat antibiotik dan sekumpulan doktor pakar akan terus memantau keadaannya.

Bekas pemimpin republik itu dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) sejak 5 Februari lalu kerana mengalami radang paru-paru yang teruk dan beliau terpaksa menerima alat bantuan pernafasan.

Kuan Yew yang menerajui kerajaan dari 1959 daripada pemimpin parti Buruh sebelum itu, Haji Omar Lim Yew Hock dan mengetuai Singapura sehingga 1990 adalah perdana menteri paling lama berkhidmat di dunia.

Berita terbaharu keadaan kesihatan beliau yang kritikal difahamkan sedikit sebanyak memberi kesan kepada suasana politik tempatan kerana Singapura bakal merayakan Jubli Emas hari kemerdekaan ke-50 tahun pada 9 Ogos ini.

Kuan Yew bertanggungjawab menyebabkan pulau itu dipisahkan daripada persekutuan Malaysia pada 1965 kerana cuba mempermainkan sentimen berbaur perkauman sehingga mengakibatkan tragedi berdarah 1964 di Singapura.

Anak sulung beliau, Lee Hsien Loong, 63 tahun, kini merupakan perdana menteri ketiga republik tersebut sejak mengambil alih pemerintahan Singapura daripada Goh Chok Tong pada 2004. – Agensi