PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis
tetap menjalankan siasatan terhadap isu dana 1Malaysia Development Bhd
(1MDB) ketika Jabatan Audit Negara melakukan audit terhadap syarikat
itu.
Beliau berkata walaupun polis sebelum ini menetapkan hanya akan
menjalankan siasatan jika audit terhadap 1MDB mengesan sebarang
percanggahan, pasukan petugas khas bagi kes itu yang bermesyuarat pada
Jumaat lalu memutuskan segala maklumat atau laporan yang diterima
berhubung kes itu perlu disiasat.
“Berikutan polis menerima maklumat dan laporan berkaitan kes (1MDB),
pasukan petugas khas ini berpendapat kami perlu menjalankan siasatan
yang sepatutnya ke atas apa juga maklumat yang diterima tanpa perlu
menunggu laporan penuh Jabatan Audit Negara selesai,” katanya.
Selain Bahagian Jenayah Komersial, pasukan petugas khas yang
ditubuhkan bagi menyiasat laporan polis berhubung 1MDB berkaitan dakwaan
salah urus dana syarikat itu turut disertai Jabatan Peguam Negara dan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melepaskan peserta
Kayuhan Malaysia Polis Diraja Malaysia di Dataran Putrajaya di sini,
hari ini.
1MDB, syarikat pelaburan strategik berkaitan kerajaan yang ditubuhkan
pada 2009, menjadi fokus utama media dan masyarakat berikutan dakwaan
penyelewengan pengurusan kewangannya.
Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Mac lepas,
telah mengarahkan agar Ketua Audit Negara untuk meneliti dan mengesahkan
secara bebas akaun syarikat itu.
“Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian,” kata Perdana Menteri.
Berhubung isu stesen radio BFM yang memuat naik klip video menyindir
pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, Ketua Polis Negara berkata ini kali
kedua stesen radio perniagaan berbahasa Inggeris itu terbabit
mempersendakan agama Islam.
Katanya pada akhir tahun lepas, stesen radio BFM didenda RM10,000
oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung
satu wawancara yang dibuatnya bersama sarjana agama dari Amerika
Syarikat, Reza Aslan berhubung kalimah Allah pada 21 Okt 2013.
“Saya ingin ingatkan stesen-stesen radio, khususnya BFM supaya lebih
berhati-hati kerana sebelum ini mereka pernah dikenakan tindakan
berhubung isu kalimah Allah.
“Kini, sekali lagi dia cuba mainkan isu yang sensitif kerana apa yang
diucapkan oleh (wartawan BFM) Aisyah (Tajuddin) sebenarnya boleh
dianggap mempersendakan agama Islam yang tentunya melukai perasaan ramai
orang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Khalid berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menentukan tindakan lebih tegas
boleh diambil terhadap stesen radio BFM serta mencari kaedah terbaik
mengawal penyiaran isu-isu sensitif yang membangkitkan kemarahan
masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata polis akan memanggil Aisyah, penulis
skrip dan pihak yang membuat ugutan terhadap penyampai BFM itu bagi
membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan
berkenaan kesalahan menimbulkan suasana tidak harmoni dan perpecahan di
kalangan masyarakat.
Katanya sehingga kini polis menerima lima laporan berhubung penyiaran video kontroversi itu. – BERNAMA