Tiada Peniaga Ambil Kesempatan Naik Harga Di Pasar Tani Di Kedah

ALOR SETAR - Peningkatan harga bahan api yang berlaku tidak menjejaskan harga barangan di pasar-pasar tani, kata Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Tan Sri Badruddin Amiruldin.
 
Beliau berkata, perkara itu didorong oleh Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak Terus ke Pasar Tani (Kukuh) yang boleh memerangi orang tengah, sekali gus mengurangkan harga di pasaran sehingga 20 ke 30 peratus.
  
"Di pasar tani harga masih kekal, usahawan taat kepada arahan kerajaan, harga minyak tinggi dulu pun kita boleh bertahan, jadi sekarang ini kita boleh juga, tiada masalah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kepada usahawan tani Wilayah Utara di sini, hari ini.
  
Katanya, menerusi program Kukuh petani dan penternak menjual hasil ternakan atau pertanian terus kepada peniaga melalui agensi-agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya peranan orang tengah dapat dikurangkan.

  
"Sebab itulah Fama turunkan harga pasaran ayam, buah-buahan, sayuran, bekalan dapur, ini semua disebabkan sebab kita dapat bekalan terus (daripada) usahawan," kata Badruddin.
 
Beliau berkata, ia sekali gus memberi faedah kepada pengeluar, peruncit dan pengguna akhir, yang mendapat harga munasabah dan tidak membebankan.
  
"Kerajaan sendiri menyarankan nelayan, petani, penternak supaya barangan mereka terus dijual di bawah agensi-agensi kementerian pertanian dan terus dihantar kepada pasar tani agar harga dapat dikekalkan," katanya.
  
Katanya, petani atau penternak yang mempunyai masalah dalam memasarkan hasil mereka diminta untuk mendapatkan nasihat di setiap pejabat FAMA negeri
masing-masing.
  
Siri Jelajah Fama di seluruh negara itu bertujuan memperjelaskan kepada usahawan tani mengenai program turun harga barang, jimat belanja dapur serta jihad membasmi orang tengah. - Bernama