KUALA LUMPUR – Dua beradik dan seorang rakan mereka dihukum penjara
tiga tahun dan tiga sebatan setiap seorang selepas mengaku bersalah
merompak sebuah kafe siber dengan sepucuk pistol tiruan tahun lepas.
Hakim Azman Mustapha memerintahkan pemandu peribadi, Mohd Rosdi
Rusli, 35, adiknya penganggur, Mohamad Rosfazul Rusli, 34, dan rakan
mereka penghantar surat, Alhafizshahkirin Kamarulzaman, 29, menjalani
hukuman itu bermula tarikh mereka ditangkap pada 19 Julai tahun lepas.
Mereka bertiga didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas
melakukan rompakan dengan mengacukan sepucuk pistol tiruan terhadap
Chung Tian Long, 39, di Kafe Siber, 1-1 Blok C, Plaza Danau 2, Jalan
2/109F, Taman Danau Desa di sini pada 5.15 pagi, 19 Julai 2014.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6 Akta
Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang dibacakan bersama Seksyen 34
Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan
sebat tidak kurang tiga kali.
Ketika rayuan, peguam Farhan Maaruf yang mewakili dua beradik itu
memohon hukuman penjara yang minimum atas alasan mereka telah mengaku
bersalah dan insaf atas perbuatan itu.
“Mereka melakukan jenayah itu setelah tidak dapat mengawal perasaan
marah apabila rakan mereka (yang masih bebas) menang judi RM70,000 di
kafe siber itu namun, pihak syarikat enggan bayar lalu berlaku
perselisihan faham,” katanya.
Sementara itu, Peguam Zaidi Othman yang mewakili Alhafizshahkirin
pula memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya bertindak mengikut
rakannya yang tidak berpuas hati dengan pemilik pusat siber itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Malini S. Anne. – BERNAMA