Tips: Teguh Jiwa Seorang Muslim Kunci Elak Gelisah Di Hati...

KEHIDUPAN manusia di dunia semuanya inginkan kebahagiaan, kesenangan dan ketenteraman jiwa. Jiwa yang kuat dan perkasa akan dapat mengharungi segala cabaran dan dugaan yang melanda diri. Hati dan jiwa yang tenang juga adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya.

Betapa kuatnya dugaan dalam hidup seseorang, jika jiwanya perkasa seseorang itu akan dapat mengatasi dan menanganinya dengan baik dan tenang. Bagi memperkasa hati dan jiwa mestilah melalui didikan, bimbingan, tunjuk ajar, nasihat dan amalan yang baik.

Jiwa atau roh terletak dalam tubuh manusia. Ia juga dikenali sebagai batin (perasaan, fikiran, cita-cita dan lain-lain yang terkandung dalam hati manusia). 

Jiwa yang tenteram adalah orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada pimpinan al-Quran akan memperoleh petunjuk dan rahmat serta kurnia-Nya. 

Dengan kebenaran al-Quran dapat mengeluarkan manusia dari alam kegelapan ke alam cahaya yang terang dan memperoleh petunjuk ke jalan yang benar.

Pegangan agama akan memantulkan kekuatan jiwa kepada seseorang. Sebagai seorang Muslim yang berpegang kuat kepada keimanan kepada Allah SWT pasti dirinya tidak akan goyah dan goncang apabila ditimpa dugaan.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: 
Kitab itu (al-Quran tidak ada keraguan padanya menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 2)
Petunjuk

Justeru, orang yang beriman dan bertakwa mampu menghadapi apa juga cubaan dan dugaan daripada Allah. Al-Quran dan sunnah menjadi petunjuk kepada mereka, khususnya orang-orang yang bertakwa ke arah kebahagiaan dan ketenangan dalam kehidupannya.

Mereka yang beriman dan bertakwa adalah insan yang seimbang dan harmonis. Amat penting bagi individu memiliki ilmu (intelek), sahsiah yang baik (emosi), percaya kepada Tuhan dan mempunyai akhlak yang baik (rohani) dan kesihatan diri yang baik (jasmani). Keseimbangan antara keempat-empat aspek ini akan menghasilkan individu yang mampu hidup secara harmonis dengan diri sendiri dan orang lain.

Jelaslah, individu seumpama ini memiliki ketahanan untuk menghadapi segala cabaran hidup serta sanggup berhadapan dengan apa juga masalah yang timbul. Individu ini juga mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi serta berkebolehan untuk mengharungi liku-liku kehidupan.

Tokoh Islam dan penyair Muhammad Iqbal menyatakan agama adalah kekuatan yang paling penting dalam kehidupan individu dan negara. Agama bukan sekadar fikiran ataupun perasaan tetapi ia adalah pengungkapan hidup secara keseluruhan.

Jauhi perkelahian kerana pertengkaran boleh menyesatkan hati dan jiwa serta menyebabkan kedengkian. Orang yang suka bertengkar tidak pernah kurang perkataan untuk memarahi orang lain.

Berdasarkan beberapa pandangan dan pendapat, jelaslah untuk mencari ketenteraman jiwa setiap manusia mestilah beriman dengan penuh keyakinan. Bagi umat Islam keimanan dengan penuh keyakinan kepada Allah SWT dan Nabi SAW akan menenteramkan hati dan jiwa dalam kehidupan seharian.

Kesederhanaan

Hidup dalam kesederhanaan akan membawa kebahagiaan hati dan jiwa. Berbahagialah mereka yang selalu sederhana dan mengambil jalan tengah dalam kehidupan seharian. Perasaan tenang seseorang datangnya dari dalam dirinya sendiri. 

Begitu juga perasaan tenang dalam rumah tangga, banyak bergantung pada ketenangan dan kerukunan dalam rumah tangga yang menyumbang kepada ketenangan hati dan jiwa.

Ketenteraman jiwa akan menghindarkan penyakit rohani dalam hati seperti hasad dengki, sombong, riak, melakukan fitnah, mengumpat, melakukan kezaliman, berdusta, marah, mencaci maki, bakhil, kikir, cintakan dunia dan munafik.

Lantaran itu, sebagai umat Islam sentiasalah takut akan Allah SWT pada setiap masa dan tempat, cintakan Allah, memahami keagungan dan kebesaran-Nya, sentiasa syukur dan sabar, hati dan diri takwa kepada Allah SWT, beramal dengan ikhlas kerana-Nya, pemurah dan mempunyai akhlak yang baik, memohon keampunan dan perlindungan-Nya.

Setiap jiwa memerlukan bimbingan sebagaimana berjalan memerlukan petunjuk jalan. Jiwa yang tenang, sanggup menguasai keadaan dan mampu menghadapi ujian, cubaan dan musibah yang mendatang. -Utusan