TNB Peruntuk RM65 Juta, 6 Lampu Jalan Solar Untuk Kedah

BANDAR BAHARU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM65 juta bagi tempoh 2014 hingga 2015, dalam usaha membantu kerajaan Negeri Kedah mempertingkat dan mengukuhkan pelaburan di negeri.
 
Pengurus Besar Negeri Kedah (Bahagian Pembahagian TNB) Zubir Hashim berkata ia melalui penyediaan infrastruktur dan rangkaian kabel serta pencawang dalam memastikan bekalan elektrik sentiasa berada pada tahap terbaik.
 
"TNB sentiasa mengambil kira perancangan pembangunan oleh kerajaan negeri Kedah dan akan terus meningkat prestasi pembekalan elektrik supaya boleh berdaya saing untuk menarik para pelabur asing ke negeri ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Program Bersama Komuniti di sini hari ini.
 
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Inovasi, Komunikasi, Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi, Datuk Sabrina Mohd Noor berkata, beliau menyambut baik tindakan TNB yang meluluskan enam unit lampu jalan yang menggunakan tenaga solar di daerah ini.
 
Dua unit lampu jalan itu akan dipasang di sempadan daerah Kulim/Bandar Baharu di jambatan Sungai Punti dan sebuah lagi di persimpangan Kampung Sungai Tengas.
 
Tiga unit lagi akan dipasang di beberapa lokasi yang akan ditetapkan kelak.
 
"Sebanyak 227 unit lampu jalan telah diluluskan melalui Pejabat Daerah Bandar Baharu dalam tempoh terdekat ini kerana pada hakikatnya penduduk di Bandar Baharu memerlukan sekurang-kurangnya lebih 600 unit lampu jalan untuk menerangi jalan-jalan di bandar dan luar bandar daerah ini," katanya. -Bernama