Tolak Hudud, Guan Eng Nafi Terima Ugutan Dari Militan IS

GUAN Eng keluar selepas mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP di Ibu Pejabat DAP. - Foto Sairien Nafis
BUKIT MERTAJAM – Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini menafikan kononnya ada menerima ugutan bunuh daripada kumpulan militan Negara Islam (IS).

Guan Eng, berkata beliau tidak ada menerima sebarang ugutan bunuh membabitkan kumpulan militan itu dan menyifatkan ia sebagai ‘silap orang’.

Setiausaha Agung DAP itu menyifatkan dirinya sebagai ‘orang kecil’ yang mustahil dikenali oleh kumpulan militan berkenaan.

“Tidak ada .. tidak ada… ia bukan saya. Saya hanya ‘orang kecil’ tak mungkin mereka tahu saya.

“Semalam Ketua Polis negeri (Datuk Abdul Rahim Hanafi) sudah beri kenyataan dan kamu (media) ikut sahajalah kenyataan itu sebab memang tidak ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat sebuah kedai ubat di pekan Bukit Mertajam di sini, sebentar tadi.

Semalam, Abdul Rahim berkata polis akan menyiasat ugutan bunuh daripada kumpulan militan IS terhadap Guan Eng dan seorang guru yoga dari India, SSR Shankar.

Abdul Rahim, berkata pihaknya sudah menerima laporan berhubung ugutan bunuh ke atas Shankar namun tidak mendapat laporan mengenai ugutan yang sama terhadap Guan Eng. - BH Online