TUDM Janjikan Aksi Terbaik Di LIMA'15

LANGKAWI – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah bersiap sedia untuk memberi persembahan terbaik yang mempunyai lebih nilai tambah pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2015 (LIMA’15) yang akan bermula, Selasa ini.

Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Roslan Saad berkata beberapa acara baharu dan pesawat baharu akan dipamerkan dalam edisi LIMA’15 kali ini, iaitu sesuatu yang berbeza berbanding pameran sebelum ini.

“Selain daripada persembahan aerobatik yang sentiasa menjadi kemestian di mana-mana persembahan udara, akan terdapat juga pameran statik yang menampilkan teknologi penerbangan terkini seperti dalam sistem trafik udara, radar dan UAV (kenderaan udara tanpa pemandu) yang boleh menambah nilai kepada penglibatan kita (dalam LIMA) tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan latihan akhir pertunjukan udara LIMA’15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, Sabtu.


Satu persidangan Panglima Udara juga akan diadakan pada 18 Mac bersempena pameran berkenaan yang melibatkan 200 peserta terdiri daripada panglima tentera udara dan timbalan mereka dari negara ASEAN, katanya.

Menurut Roslan, lima pasukan aerobatik masing-masing dari Emiriyah Arab Bersatu, Singapura, China, Indonesia dan Malaysia akan membuat persembahan semasa pameran LIMA’15 selain persembahan sulung melibatkan pengenalan aset TUDM yang terbaharu, iaitu pesawat pengangkut A400M.

Katanya, pada pemeran itu juga pengunjung berpeluang menyaksikan kehadiran pesawat pengebom (USAF) B52 Tentera Udara Amerika Syarikat yang berpangkalan di Guam, sebuah pulau di Lautan Pasifik.

Menurut beliau, majlis perasmian LIMA’15 dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan turut menyaksikan persembahan pesawat terbaharu TUDM.

“Bagi TUDM, kami bersedia untuk memberikan yang terbaik dalam LIMA’15 ini,” katanya. – BERNAMA