Tuntutan China Tidak Berasas


TOKYO – Presiden Indonesia, Joko Widodo menegaskan bahawa tuntutan China terhadap sebahagian besar Laut China Selatan tidak mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa.

Beliau bagaimanapun berkata, Jakarta akan tetap memainkan peranan sebagai ‘broker jujur’ bagi menyelesaikan konflik perebutan persempada–nan wilayah maritim paling kontroversi di Asia itu.

“Kawasan Nine-Dash Line yang dituntut China berdasarkan penandaan sempadan maritim mereka tidak mempunyai asas langsung dalam mana-mana undang-undang antarabangsa,” katanya yang popular sebagai Jokowi.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama akhbar utama Jepun semasa dalam rangka lawatan kerjanya ke Jepun dan China.

Ini merupakan kali pertama Widodo memberi kenyataan terhadap isu tersebut sejak memegang tampuk kuasa pada Oktober lalu.

China mendakwa 90 peratus kawasan perairan Laut China Selatan yang dipercayai kaya dengan sumber minyak mentah dan gas itu sebagai haknya.

Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan turut menuntut hak ke atas perairan tersebut yang merupakan laluan kapal-kapal dagang dengan nilai dagangan kira-kira kira-kira AS$5 trilion (RM18.4 trilion) setahun.

Pertikaian wilayah dilihat sebagai salah satu daripada isu panas di Asia yang boleh mengundang senario buruk jika berlaku sesuatu tindakan di luar kawalan memandangkan beberapa negara begitu agresif menuntut hak masing-masing.

“Kami perlukan keamanan dan kestabilan di wilayah Asia Pasifik. Amat penting untuk mempunyai kestabilan keselamatan serta politik bagi membina pertumbuhan ekonomi kami,” kata Jokowi dalam kenyataan yang disiarkan akhbar Yomiuri semalam.

Dalam lawatan pertamanya ke Jepun sebagai Presiden, Jokowi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Shinzo Abe dan dua menteri pertahanan bagi menandatangani satu perjanjian pertahanan.

Perjanjian itu adalah usaha terbaru oleh Tokyo bagi menjalin hubungan keselamatan yang lebih erat dengan negara-negara Asia Tenggara dan membina imbangan lawan untuk China. – Reuters