Umat Islam Kedah Diminta Fahami Erti Jihad Sebenar

ALOR SETAR - Umat Islam perlu memahami pengertian sebenar jihad di dalam agama kerana ia tidak hanya terbatas kepada tindakan mengangkat senjata dan berjuang di medan peperangan, sebagaimana dilakukan oleh segelintir rakyat negara ini yang terpengaruh untuk menyertai kumpulan militan di Syria.  
 
Mufti Negeri Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata pengertian jihad di dalam Islam adalah amat luas meliputi pelbagai perkara di dalam  kehidupan umatnya termasuk tentang akhlak.
 
"Masyarakat Islam (di Malaysia) perlu mengambil ajaran Islam itu daripada sumber-sumber yang sebenarnya, jangan hanya berlandaskan kepada (sumber) YouTube atau Facebook.
 
"Jihad jikalau tidak diambil di dalam pengertian yang betul, akan menjadi jahat. Jihad biarlah di dalam bentuk yang mengikut landasan Islam," katanya kepada Bernama ketika Multaqa Imam, Guru Takmir, Guru Kafa dan Jawatankuasa Masjid Negeri Kedah yang berakhir baru-baru ini.
 
Pada ketika ini dianggarkan 61 rakyat Malaysia dikesan berada di Syria termasuk 10 wanita, sementara mereka yang ditahan kerana menyertai kumpulan militan IS mencecah 71.
 
Ada antara mereka yang pergi ke Syria dengan tujuan untuk berjihad termasuk anak-anak muda berasal dari Kedah, sebagaimana didedahkan oleh polis baru-baru ini.
 
Anak-anak Kedah yang dikesan sedang berada di Syria ketika ini termasuklah seorang pemuda berusia 20 tahun yang berasal dari Gurun dan seorang wanita berusia 26 tahun dari Baling yang mengikuti suaminya ke negara bergolak itu.
 
Mufti Kedah itu berkata, terdapat kemungkinan mereka yang pergi ke Syria kononnya untuk berjihad itu sebenarnya telah dipengaruhi pihak-pihak yang hanya berminat untuk mengambil kesempatan.
 
"Sedang kita berusaha untuk memajukan umat Islam, tiba-tiba ada usaha untuk memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan umat Islam. Mengapa kita mahu ke sana (Syria) sedangkan kita tidak tahu matlamatnya," katanya. 
 
Exco Agama Kedah Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid pula berkata, kerajaan negeri, persekutuan serta pondok-pondok agama serta madrasah di Kedah perlu meneruskan usaha memberi penerangan tentang makna sebenar jihad di dalam Islam.
 
Ini kerana katanya, anak-anak muda hanya mengetahui maksud jihad menerusi laman-laman sosial YouTube dan sebagainya.
 
"Kita tidak boleh berhenti," katanya, sambil meminta Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya menyekat laman-laman sosial yang mempengaruhi rakyat negara ini supaya berjihad di Syria.
 
Setakat ini menurutnya, tiada madrasah, sekolah Arab atau pondok-pondok agama di Kedah dikesan terlibat di dalam penyebaran fahaman ekstremisme atau militan.
 
Sebaliknya kata Mohd Rawi, dakwaan penyebaran fahaman itu oleh madrasah dan pondok agama berkemungkinan agenda pihak tertentu yang mahu menggagalkan usaha penyebaran Islam, selain menekan Malaysia daripada sudut politik serta ekonomi.
 
Beliau berkata, kerajaan negeri bersama-sama Jabatan Mufti, pondok-pondok agama dan madrasah akan bekerjasama untuk menangkis kekalutan tafsiran sempit mengenai jihad yang disebarkan oleh laman sosial ketika ini.
 
Kerajaan negeri dengan kerjasama semua pihak terbabit akan menggunakan kaedah yang dipraktikkan mereka ketika berhadapan dengan isu ajaran Syiah di Kedah, katanya. - Bernama