KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa pembentukan
kerajaan perpaduan diantara PAS dan UMNO akan menjadi kenyataan dalam
tempoh empat hari lagi.
Dakwa beliau, ia berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan
Nasional (BN) pada sidang DUN Kelantan pada Rabu akan menyokong pindaan
Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (undang-undang hudud).
“MCA dan Gerakan juga berharap komplot itu berjaya supaya pakatan
rakyat musnah. Ini adalah senario politik yang rakyat Malaysia akan
hadapi dalam beberapa hari lagi,” dakwanya dalam satu kenyataan media
hari ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini dilaporkan
berharap ADUN BN akan menyokong pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah
Syariah II pada Rabu ini.
Ahmad Yakob dipetik berkata, sokongan ADUN BN amat diperlukan oleh
PAS bagi memastikan kelancaran perjalanan untuk melaksanakan
undang-undang tersebut.
Kata beliau, perjuangan pelaksanaan hukum tersebut perlu diteruskan
dan ia merupakan harapan seluruh rakyat Kelantan yang mahukan kadar
jenayah dapat dikurangkan dengan terlaksananya hukum Islam.
Kit Siang dalam pada itu mendakwa pihak dalam PAS yang mahukan
kerajaan perpaduan berjaya melaksanakan rancangan itu berikutan kematian
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu.
“Kematian Nik Abdul Aziz adalah peluang terbaik untuk pembentukan kerajaan perpaduan,” katanya.
DAP sebelum ini memberi amaran PAS tidak lagi akan dilihat sebagai
sebahagian daripada pakatan rakyat jika parti itu meneruskan
pembentangan rang undang-undang hudud di DUN Kelantan.
Sumber: Mynewshub.cc