Unimap-UNPAB Meterai Kerjasama Pendidikan

ARAU - Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universitas Pembangunan Panca Budi (UNPAB) Medan, Indonesia menandatangani memorandum perjanjian (MOA) bagi mengukuhkan kerjasama akademik dan pendidikan.
  
Perjanjian itu susulan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua universiti sejak 2012 yang mengkhusus kepada penawaran program pengajian pasca siswazah terutama Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) Unimap.
  
Naib Canselor Unimap Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata perjanjian itu selaras dengan hasrat dan misi kerajaan untuk meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa menyambung pengajian di universiti awam di negara ini.
  
Katanya, sebanyak 15 calon pelajar UNPAB telah berkunjung dan mengadakan sesi pertemuan dengan pensyarah dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program pascasiswazah yang ditawarkan oleh PPIPT.
  
"Seramai 16 pensyarah UNPAB ditawarkan tempat untuk mengikuti pengajian pascasiswazah iaitu 15 calon PhD dan seorang calon Ijazah Sarjana Sains (Penyelidikan)," kata Kamarudin selepas mewakili Unimap menandatangani MOA berkenaan, petang semalam.
  
UNPAB diwakili Rektornya, Dr. H. Muhammad Isa Hindrawan.
  
Dr Kamarudin berharap Unimap dan UNPAB dapat mengembangkan kerjsama akademik mencakupi pelbagai aspek hasil daripada kerjasama berkenaan. - Bernama