Upah Ajar Al-Quran Dianggap "Jual Agama"?

ADA timbul tanggapan orang ramai yang mengatakan orang yang mengajarkan al-Quran dan mengenakan yuran tertentu, dia umpama menjual agama. Apa pandangan ustaz?

JAWAPAN

Dalam hadis, disebutkan tentang upah. Antaranya upah mengajar al-Quran. Asalnya dalam amalan masyarakat kita, didapati tiada upah khusus ditetapkan untuk mengajar al-Quran. Begitu juga pengajaran ilmu agama yang lain.

Cuma anak murid memberi kepada guru al-Quran apa yang patut kerana menghargai kesudian guru untuk mengajar dan masa yang dihabiskan untuk mengajar.

Hari ini, suasana agak berbeza. Kalau zaman dahulu, para pelajar datang ke rumah guru. Hari ini, ada perkhidmatan mengajar al-Quran di mana guru datang ke rumah pelajar.


Zaman dahulu, kelas al-Quran di surau, masjid atau di rumah guru. Hari ini, kelas al-Quran di ruang pejabat yang perlu disewa. Maka kesemua ini memerlukan kos. Oleh itu, tiada salahnya jika wujud yuran bagi pengajian al-Quran.

Begitu pun, para guru juga hendaklah menilai keadaan pelajar. Jika pelajar amat memerlukan pendidikan tetapi amat miskin, maka amat mulia jika pelajar ini diajar walaupun tanpa bayaran yuran.

Bagi pelajar yang mampu maka yuran ditetapkan manakala yang tidak mampu, bayaran tidak ditetapkan. Insya-Allah pahalanya besar.

Selain itu, amat wajar juga diwujudkan dana wakaf atau dana bantuan bagi tujuan menampung serta membiayai pelajar yang tidak mampu belajar al-Quran. -Utusan