UPP Kedah Rombak Anggota, Elak Kegiatan Lindungi Penyeludup


ALOR SETAR - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah akan merombak anggotanya yang bertugas di sempadan Bukit Kayu Hitam bagi mengelak berlakunya kegiatan melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol dan diesel ke negara jiran.

Komander UPP Kedah, Abd Latif Abd Rahman berkata, anggota yang terlibat dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) dan operasi rondaan di sempadan Bukit Kayu Hitam yang disyaki terlibat akan ditempatkan semula di agensi asal mereka.

"Kalau anggota itu dari (Jabatan) Imigresen atau polis kita akan hantar semula anggota itu ke agensi itu semula. Kita tak mahu mereka terus lindungi penyeludup yang bertentangan dengan integriti kita.

"Kalau proses pertukaran itu lambat kita akan tempatkan anggota tersebut buat sementara waktu di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam bagi melakukan kerja-kerja pejabat dan bukan lagi di bahagian operasi atau risikan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, tahun lepas pihaknya telah merombak secara besar-besaran anggota UPP yang dipercayai terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang dalam usaha mengurangkan kes berkaitan melindungi penyeludup.

Abdul Latif berkata, pihaknya juga sering memantau setiap prestasi anggota yang ditempatkan di UPP Bukit Kayu Hitam melibatkan laporan prestasi mengenai kejayaan tangkapan dan aduan daripada orang ramai.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan anggota UPP yang melindungi kegiatan penyeludupan boleh menyalurkan maklumat kepadanya untuk tindakan lanjut.

"Sebelum ini kita ada terima laporan orang ramai mengenai seseorang anggota dan kita siasat sebelum keputusan untuk menukarkan anggota itu dilakukan dalam tempoh terdekat," katanya.


Beliau berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan anggota UPP yang melindungi penyeludup dan berharap kejadian tersebut tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

Katanya beliau sebelum ini sering mengingatkan anggotanya agar tidak melanggar integriti pasukan dan tidak bersekongkol dengan pihak tidak bertanggungjawab.
  
Akhbar tempatan hari ini melaporkan 13 polis dan bekas komander UPP Bukit Kayu Hitam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Operasi Licin 2 semalam. - Bernama