DALAM sebuah hadis sahih Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara selagi mana kamu berpegang kepadanya kamu tidak akan sesat iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah-ku”. (riwayat Imam Malik)
Demikian tingginya kedudukan hadis Nabi SAW yang menjadi rujukan utama selepas al-Quran.
Bagaimanapun, selepas kewafatan Baginda, telah muncul hadis-hadis maudu’ (hadis palsu) yang kemudiannya disebar luas. Antara punca hadis palsu dicipta adalah politik, taksub, golongan musuh Islam, ahli bidaah dan golongan zuhud, percanggahan bab fiqh dan akidah serta untuk kepentingan diri.
Kini selepas lebih 1,400 tahun kewafatan Nabi SAW, penyebaran hadis palsu ini semakin berleluasa.
Sehinggakan ia menjadi ‘rujukan’ bukan sahaja para ustaz dan penceramah tetapi juga orang awam. Dalam dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari, kesan penyebaran hadis palsu itu semakin dirasai. Jika tidak dibendung perkara ini boleh menjadi barah dalam masyarakat.
Alhamdulillah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif menerbitkan buku Hadis Mawdu’: Sejarah dan Cara-cara Mengenalinya karangan Prof. Madya Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor iaitu bekas pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Buku itu diterbitkan pada 3 Mac lalu.
Memanglah buku itu tidak cukup untuk mengesan dan menangkis semua hadis palsu tetapi sekurang-kurangnya umat Islam kini ada panduan dan boleh merujuk kepada buku tersebut yang boleh dimuat naik menerusi Internet.
Dengan kata lain, sekarang jangan tangkap muat sahaja. Sebaliknya, buat penyelidikan bagi menentukan status sesebuah hadis terlebih dahulu sebelum disebarkan terutama menerusi laman sosial.
Antara contoh hadis palsu yang masyhur adalah berkaitan fadilat solat tarawih pada setiap malam Ramadan.
Ia berunsur bidaah dalam ibadat dengan melebih-melebihkan ganjaran melaksanakan ibadat. Ini boleh mendorong umat Islam menjadi malas melakukan ibadat gara-gara mahu menumpukan pada hari atau bulan tertentu bagi mendapatkan ganjaran dan pahala besar.
Walhal hadis sahih berkaitan Ramadan antaranya adalah sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu." (riwayat Bukhari)
Hadis ini sudah cukup menggambarkan betapa hebat dan besarnya ganjaran bagi mereka yang berpuasa Ramadan dengan penuh keikhlasan. Adakah hadis ini masih tidak cukup sehinggakan kita mahu mempercayai hadis-hadis palsu berkaitan fadilat beramal dalam Ramadan?
Inilah yang perlu dinilai semula oleh umat Islam dalam usaha memotivasi diri melaksanakan ibadat seharian. Jangan sampai kita terpedaya menyebar dan ‘beramal’ dengan hadis-hadis palsu yang kebanyakannya menjanjikan ganjaran luar biasa bagi amalan harian.
Banyak hadis memberi amaran keras terhadap pendusta yang memalsukan hadis, kemudian mendakwanya sebagai sabda Nabi. Justeru para sahabat sangat takut apabila meriwayat sesebuah hadis kerana khuatir terjerumus ke dalam amaran itu.
Dalam riwayat Bukhari dan Muslim daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Jangan kamu berdusta terhadapku, sesiapa berdusta terhadapku, maka bersedialah kemasukannya ke neraka."
Imam al-Zahari dalam bukunya al-Kabair (dosa-dosa besar) meletakkan kesalahan mencipta, meriwayat dan menyebar hadis maudu’ termasuk salah satu daripada 70 dosa besar.
Abu Muhammad al-Juwaini pula menyatakan boleh jatuh kufur bagi sesiapa yang sengaja mendustai Rasulullah SAW dan pendapat beliau disokong oleh Ibnu Jauzi. -Utusan