Ustaz Kazim Mohon Maaf Pada Semua Peminatnya...

Pendakwah terkenal tanahair, Datuk Mohd Kazim Elias mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada para penyokong serta peminatnya dan meminta maaf kepada mereka berhubung keputusannya untuk menarik diri dari muncul di mana-mana program ceramah di kaca televisyen selepas ini.

Katanya, beliau amat terharu dengan rayuan mereka yang memintanya supaya menarik semula keputusan tersebut, namun jelas perceramah tersohor itu permintaan mereka mungkin tidak mampu untuk beliau realisasikan buat masa ini.

“Terima kasih semua, rupanya ramai yang menyokong saya tetapi tidak mengapalah, saya baik-baik sahaja,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Namun pun begitu, Kazim menjelaskan bahawa beliau tetap berlapang dada dan menganggap isu penarikan dirinya itu telah selesai.

“Biarlah saya tenang, saya tidak mahu mengganggu pelajar saya kerana bila saya terus keluar di kaca televisyen mungkin ramai yang sakit hati, nanti mereka mungkin bergaduh pasal saya, jadi biarlah mereka belajar dengan tenang tanpa gangguan,” jelasnya lagi.

Sementara itu tinjauan media mendapati bahawa sejurus selepas Ustaz Kazim membuat pengumuman tersebut, ribuan komen telah membanjiri laman Facebook rasmi Ustaz Kazim bagi menyatakan sokongan terhadap tokoh itu.

Antaranya, Rashid Achip yang merayu agar Ustaz Kazim tidak berhenti berceramah dan mahu beliau terus mewarnai kaca televisyen dengan slot program-program dakwahnya.

“Janganlah berhenti ceramah di TV, bukan semua dapat pergi ceramah UKE, tidak acilah macam ini,” tulisnya di laman sosial tersebut.

Sementara itu, Munirah Mustafar pula menulis bahawa peluang dia untuk melihat Ustaz Kazim selepas ini mungkin terpadam gara-gara keputusan yan mengejutkan seluruh jutaan peminatnya itu.

"Ustaz Mohd Kazim Elias janganlah berhenti berdakwah di TV...Saya hanya ada peluang dengar ceramah ustaz di TV je....nak turun padang tiada  peluang sebab suami saya keluar kerja gelap dan balik kerja pun hari gelap...’please’...biar apa orang nak kata, niat kita itu ALLAH tahu...ALLAH selalu  lindungi hamba-NYA yang teraniaya,” tulis Munirah.

Manakala menurut Muhammad Adib pula meluahkan harapannya supaya Ustaz Kazim kuatkan semangat.

"Ustaz, jangan berhenti ceramah di TV, biarlah apa orang hendak kata apa pun, yang pasti ramai lagi yang gemar dengar ceramah ustaz, kuatkan semangat, saya tetap sokong ustaz,” tulisnya.

Sementara menurut Faizah Amran, dia berasa sedih dengan keputusan penceramah yang terkenal dengan celotehnya yang bersahaja itu.

“Sedih dengar pengumuman ustaz malam tadi, apa-apa pun ustaz..teruskan berdakwah. Semoga dipermudahkan segalanya, amin,” tulis Faizah.

Dalam pada itu, Alexander Razali pula memuji pendekatan Ustaz Kazim yang dianggap telah berjaya menarik anak muda dan dia kecewa dengan keputusan tersebut.

“Ustaz...saya bebetul kecil hatilah dengan ustaz, bukan senang hendak tarik jiwa muda dengar ceramah hanya orang tertentu sahaja yang ALLAH bagi bila seseorang itu bersuara masuk menyelinap dalam hati,” tulisnya merayu supaya Ustaz Kazim menarik balik keputusan itu. -Kedahnews.com