VIDEO: Budaya Memandu Orang Malaysia Yang Memalukan Kita...


Sekiranya anda seorang pemandu, Kedahnews.com yakin anda mempunyai pelbagai pengalaman yang sangat menarik apabila memandu di atas jalanraya di Malaysia.

Malaysia juga terkenal dengan gaya pemanduan kenderaan yang tersendiri.

Budaya "hebat" pemanduan rakyat Malaysia boleh ditonton pada video dibawah yang telah dirakam seorang pengguna akaun laman video, Youtube.

Menerusi rakaman video yang dimuatnaik itu, kita boleh melihat sendiri gelagat dan tabiat orang Malaysia dalam etika pemanduan di jalan raya di negara kita.

Patutlah kemalangan jalan raya di negara ini meningkat dari tahun ke tahun, kan?

Apabila polis trafik, JPJ atau penguatkuasa lain mengambil tindakan, saman dan sebagainya, ada pula yang marah-marah rasa macam nak bakar balai polis trafik.

Tidak kurang juga ada yang tergamak memaki hamun dan cuba menghulur rasuah pada anggota trafik yang bertindak terhadap mereka.

Sekiranya kita pernah memandu di Australia, New Zealand dan beberapa negara maju lain, sudah tentu kita akan dapat merasai perbezaan yang sangat ketara dari sudut etika pemanduan mereka berbanding Malaysia.

Pernah seorang rakan kami ketika baru bermastautin di Christchurch diikut sejauh 9 kilometer olehseorang pemandu warga tempatan hingga ke rumah, semata-mata mahu mengingatkan rakan kami itu bahawa dia telah memandu melebihi had laju dan mampu membahayakan pemandu lain.

Bila ditanya berapa kelajuan yang dipandu rakan kami dan berapa had laju yang dibenarkan, rakan kami itu menjelaskan bahawa had laju sebenar adalah 40 km/h dan dia pula ketika itu memandu dengan kelajuan 50 km/h, lebih 10 km/h dari had yang dibenarkan.

Pengalaman kami di Australia juga menjelaskan keadaan yang serupa di mana para pemandu di negara bukan Islam itu begitu disiplin dan mengikut garis etika pemanduan yang ditetapkan. 

Malah saman minimum di sana adalah AUSD300, hampir RM900! Namun menariknya, tidak ada seorang pun yang mengamuk sekiranya disaman atau diambil tindakan di sana. Lagipun, memang jarang sangat ada yang disaman sebab semuanya memandu dengan mengikut etika.

Kami sendiri malu melihat budaya pemanduan orang Malaysia yang majoritinya muslim jauh berbeza dengan gaya pemanduan oleh warganegara bukan Islam itu.

Agaknya bila budaya pemanduan di Malaysia akan berubah? Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai kempen jalanraya dan penguatkuasa pula sudah mengeluarkan berjuta-juta saman. 

Apa agaknya yang perlu dibuat untuk mengubah budaya yang memalukan kita ini? 

Sila tonton aksi pemandu di Malaysia di bawah, malu tak? -Kedahnews.com