Video: Mengapa Malaysia Belum Mampu Laksana Hudud? - Ustaz Kazim

PERDEBATAN mengenai hukuman hudud memang sudah lama dibahaskan baik daripada kalangan pemimpin mahu pun rakyat Malaysia.

Seperti yang semua sudah ketahui, negeri Kelantan menerusi Persidangan Dewan Undangan Negerinya telah meluluskan pindaan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) selepas mendapat undian sebulat suara, Khamis lalu.

Kelulusan itu membolehkan kerajaan negeri membawa rang undang-undang persendirian untuk meminda Perkara 76 (A) (1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Kanun Jenayah Syariah II dilaksana.

Belum lagi dijalankan hukumannya, sudah kedengaran cakap-cakap yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang Islam ini.

Pelbagai kata-kata kurang enak dikeluarkan oleh mereka yang tidak menelaah secara lebih lanjut mengenai perkara ini.

Antara yang paling kuat menentang adalah parti politik seperti DAP dan PKR (malang PKR ramai Ahli Parlimen beragam Islam).

Sebenarnya, mudah sahaja, sebagai sebuah negara Islam, Malaysia seharusnya melaksanakan hukum Hudud yang sememangnya termaktub dalam Al-Quran.

Bak kata penceramah bebas Datuk Ustaz Kazim Elias atau DUKE ini, tiada siapa yang boleh menolak hudud kerana ia merupakan undang-undang Allah SWT.

Tetapi menurut beliau, kita belum sampai satu tahap untuk melaksanakannya hanya kerana disebabkan sikap umat Islam sendiri yang sentiasa berpecah-belah dalam kebanyakan perkara.

Menurutnya lagi, semua pihak terlibat perlu duduk berbincang dan bekerjasama bagaimana untuk meneruskan perkara ini.

“Negara kita ini dun berparlimen, kalau nak laksanakan hudud, boleh dengan syarat orang-orang yang menjadi ahli parlimen Islam bersatu bawa usul (hudud). Bila kita kuat, Islam pun kuat,” katanya memetik video ceramah beliau berkenaan isu hudud.