Gambar Hiasan |
MIRI – Selepas dipenjara selama empat bulan sehingga Februari lalu
atas kesalahan meragut, seorang lelaki ditangkap sekali lagi bersabit
jenayah yang sama.
Suspek ditahan Selasa lalu bersama seorang lagi rakan di Taman Permai, Jalan Dato Permaisuri, Bandar Baru Permyjaya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Stanley Johnathan Ringgit
berkata dengan penahanan mereka, pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh
kes ragut bersenjata.
Beliau berkata kedua-duanya yang berumur sekitar 20-an kini direman selama tiga hari.
Mengulas mengenai modus operandi mereka, katanya suspek meragut dengan menggunakan pisau lipat.
“Satu kes pernah dilakukan kedua-dua suspek ialah mengekori seorang
mangsa dengan motosikal sehingga ke kediaman mangsa, sebelum mengetuk
cermin kenderaan mangsa dan berpura-pura mahu bertanyakan sesuatu.
“Apabila mangsa membuka cermin kenderaannya, suspek terus meragut beg tangan mangsa,” kata Stanley.
Beliau berkata kes terbaharu yang dilakukan suspek ialah pada Selasa
lepas di tempat letak kereta di Dewan Suarah Miri, sebelum kedua-duanya
ditangkap.
Daripada mereka, polis antara lain merampas sebuah motosikal, rantai
emas, sebilah pisau lipat, telefon bimbit, jam tangan dan kad ATM.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis menumpaskan kumpulan
mencuri motosikal dengan penahanan lapan lelaki dan merampas enam buah
motosikal yang dipercayai dicuri. – BERNAMA