Petaling Jaya – Malang buat seorang wanita warga tempatan berusia 40
tahun yang menjadi mangsa keadaan, apabila dia dibunuh selepas melihat
kejadian bunuh di depan pusat karaoke di Jalan PJS 8/13, Sungai Way, di
sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian 1.25 pagi itu, tiga lelaki pada mulanya menyerang
seorang lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun menggunakan parang dan
rantai sehingga mati sebelum menyerang wanita itu yang melihat kejadian
berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim
berkata, serangan terhadap pemuda warga Indonesia itu dipercayai
bermotifkan dendam.
“Seorang wanita yang juga penyelia pusat karaoke di tempat kejadian
turut diserang sehingga mati kerana melihat pemuda Indonesia itu
dibunuh.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - myMetro