PENDANG – Kecacatan tangan dan kaki dialaminya tidak menjadi
penghalang kepada seorang wanita berusia 30 tahun di Kampung Gelong
Gajah, Tobiar di sini untuk menerokai dunia luar dengan menggunakan
perkhidmatan internet.
Nursamawati Mahmud yang melayari internet dengan menggunakan lidah
untuk menaip perkataan dan mengakses maklumat pada telefon bimbit dan
komputer riba miliknya berhasrat membantu mempromosikan produk kicap,
sos dan cuka yang diusahakan ibunya sejak 10 tahun lepas.
“Saya cuba fikirkan macam mana nak kembangkan perusahaan mak saya
ini. Sebelum ini kicap, sos dan cuka yang mak buat dipasarkan di sekitar
daerah Pendang dan Pokok Sena sahaja dan kalau boleh saya nak gunakan
internet untuk kembangkan perniagaan keluarga,” katanya ketika ditemui
di rumahnya.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, dia juga akan
mewujudkan blog untuk menceritakan perjalanan hidupnya yang bergelar OKU
dan mengalami kecacatan itu sejak berumur setahun dan bagaimana dia
belajar menggunakan laman sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram
dan Wechat.
Prihatin dan tertarik dengan kegigihan Nursamawati, Clixster Mobile
Sdn Bhd tampil menghulurkan bantuan dengan menyumbang sebuah telefon
pintar dan menaja pakej internet sepanjang hayat.
Chief Communications Officer Brands and Media, Hazran Mohamed (kiri) menyerahkan telefon pintar yang baharu kepada Nursamawati Mahmud, 30, (tengah) yang juga orang kelainan upaya (OKU) ketika ditemui di Kampung Gelong Gajah, Tobiar di sini, semalam. – Foto BERNAMA |
Ketua Pegawai Komunikasi Jenama dan Media syarikat itu, Hazran
Mohamed berkata sumbangan itu diharap dapat membantu Nursamawati
menggunakan perkhidmatan internet tanpa had seumur hidupnya untuk
bersosial, mengakses isu semasa dan sebagainya.
“Sumbangan yang kamia berikan ini diharap dapat dimanfaatkan untuk
melakukan sesuatu untuk menceriakan dan mengubah kehidupannya,” katanya.
Nursamawati yang gembira dengan sumbangan itu berkata dia mula
melayari laman sesawang dan laman sosial sejak tahun 2010 selepas
diperkenalkan oleh rakan baiknya.
“Sebelum ini saya malu untuk berhadapan dengan orang ramai sebab saya
tak sempurna macam orang lain. Dengan adanya laman sosial saya mampu
untuk berkawan dan rakan-rakan kampung dan laman sosial banyak beri
semangat untuk saya teruskan kehidupan.
“Saya sekarang tak macam dulu lagi dan mahu buktikan orang kelainan
upaya mampu melakukan perkara seperti orang normal,” katanya yang kini
mempunyai kira-kira 1,400 rakan di Facebook.
Ibunya Saudah Shaari, 52, berkata anak sulungnya itu memerlukan
penjagaan sepenuhnya seperti menyuap makanan, mandi dan memakai pakaian
kerana dia tidak mampu untuk melakukan sendiri.
Katanya dia amat kagum dengan kesungguhan anak sulungnya itu yang
tidak mengenal erti susah untuk menguasai sesuatu walaupun terpaksa
menggunakan lidah.
“Sejak pandai menggunakan internet hidup dia dah tak murung lagi
seperti dulu. Keadaan banyak berubah sebab masa yang ada dihabiskan
dengan melayari internet,” katanya.- BERNAMA