AKSI dua gadis warga asing separuh bogel yang leka bermain pasir berjaya dirakam beberapa pengunjung. |
Kota Kinabalu – Beberapa pengunjung yang mengunjungi pusat peranginan
dipercayai di Pulau Sulug, terkejut apabila menyedari gelagat dua gadis
warga asing yang bermain pasir dalam keadaan separuh bogel tanpa coli,
dengan tidak menghiraukan sensitiviti penduduk tempatan dan pelancong
lain.
Aksi kedua-dua warga asing berusia sekitar 20-an itu bukan saja
diperhatikan pengunjung kanak-kanak, malah perbuatan mereka berjaya
dirakam beberapa pengunjung lain di pulau itu yang terletak di bawah
bidang kuasa Taman-Taman Sabah (TTS).
Seorang pengunjung, Mardiana Abdul Ezam, 33, berkata, dia hanya
menyedari perbuatan pelancong asing itu selepas ditegur salah seorang
anaknya sebaik menjejakkan kaki ke pulau berkenaan kira-kira jam 9 pagi,
Ahad lalu.
“Pada mulanya, saya menyangka anak tersilap cakap apabila mendakwa melihat perempuan tidak berbaju sedang bermain pasir.
“Saya kemudian melihat ke arah mereka dan terkejut apabila mendapati
dakwaan anak memang betul,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. –
myMetro