Wifi Sempena #LIMA'15 Bakal Diperkenal

Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi, LIMA'
LANGKAWI - Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan kira-kira RM124 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan liputan komunikasi di Langkawi.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Johari Jailani berkata, peruntukan yang disalurkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu telah digunakan untuk membina pelbagai infrastruktur komunikasi yang termasuk tujuh menara baharu dan 260 buah kawasan wifi di seluruh pulau ini.
  
Bercakap kepada media selepas membuat lawatan tinjauan di sini hari ini, beliau berkata kesemua infrastruktur ini akan beroperasi sepenuhnya sebelum Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA'15) bermula 17 Mac ini.
  
Menurutnya SKMM juga telah mengaktifkan enam stesen penghantar-terima asas (BTS) bagi meningkatkan lagi keupayaan komunikasi menggunakan wi-fi di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi Malaysia (LISRAM) dan Akademi Koreksional Malaysia di sini (AKM).
  
Kedua-dua tempat itu akan menjadi lokasi-lokasi untuk Eksesais Pelbagai Negara Menangani Keganasan yang akan berlangsung dari 13 ke 19 Mac ini, katanya.

Jailani yang turut melawat Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat di sini berkata tiga buah pusat seumpama itu telah diwujudkan di Langkawi bagi memudahkan orang ramai mengakses internet.
  
Menurutnya SKMM akan meneruskan usahanya untuk mewujudkan lebih banyak lagi PI1M di sini di masa hadapan dengan mengambil kira keperluan-keperluan semasa rakyat.
  
Katanya walaupun kadar penembusan jalur lebar di negara ini sudah mencapai 70 peratus, namun angka ini telah menunjukkan masih ada kawasan-kawasan yang belum dapat lagi menikmati kemudahan sedemikian.
  
"Dengan menambah bilangan Pusat Internet 1Malaysia, ia juga boleh menyokong (peningkatan) peratusan (penembusan) jalur lebar di setiap negeri," katanya. - Bernama