Zalim Pada Haiwan, Nerakalah Jawapannya...


ADAKAH dikira zalim atau berdosa mengurung haiwan peliharaan seperti kucing di dalam sangkar kerana dikhuatiri hilang atau membuang najis merata-rata? Bagaimana pula memastikan rumah tidak terkena najis jika dibiarkan kucing keluar dan masuk rumah?

JAWAPAN
Haiwan yang dipelihara hendaklah diberi makan minum secukupnya. Jika tidak, maka hendaklah haiwan itu dilepaskan agar ia bebas mencari makan.

Dalam riwayat hadis, dinyatakan tentang seorang wanita yang mengurung seekor kucing tanpa diberi makan. Akhirnya kucing tersebut mati akibat kelaparan. Wanita itu dihumban masuk ke dalam neraka kerana berlaku zalim kepada kucing. Maka kita sewajarnya tidak berlaku zalim terhadap haiwan.

Dalam riwayat hadis yang lain, ada seorang sahabat Nabi SAW yang memelihara burung.

Beliau sering bermain dengan burung tersebut. Burung itu dipelihara dengan baik dan diberi makan dan minum. Namun akhirnya burung itu mati. Nabi SAW melihat sahabat itu dalam keadaan sedih maka baginda SAW bertanya: “Wahai Abu ‘Umayr! Apakah yang dibuat oleh Nughayr?

Nughayr adalah burung tersebut. Maka dalam dua riwayat hadis ini, pengajaran utamanya adalah keharusan memelihara haiwan. Namun si pemelihara hendaklah berbuat baik dengan memberi makan dan minum secukupnya.

Dalam aspek kurungan, kurungan ikan dalam akuarium adalah wajar. Namun bagi kucing, biasanya kucing ingin bermain dan bergerak bebas. Jika kucing dikurung terlalu lama dalam ruang yang sempit, ia bukanlah tindakan yang wajar. Biarlah kucing bebas di dalam rumah dan di luar rumah.

Dan tabiat kucing, biasanya ia akan kekal di sesuatu tempat jika tuan rumah memberi makan yang secukupnya.  -Utusan